Times Square anjur kempen derma darah

Times Square anjur kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Pusat Membeli-Belah Times Square, di ibu negara telah menganjurkan kempen menderma darah buat orang ramai serta kakitangan dan penyewa Times Square dari jam 10 pagi hingga 2 petang di premisnya, baru-baru ini.

Kempen yang diadakan dengan kerjasama dari Pusat Derma Darah di bawah Jabatan Perkhidmatan Makmal Hospital RIPAS itu, telah berjaya mengumpul 42 pain darah di sepanjang sesi tersebut.

Ia adalah acara tahunan pusat membeli-belah berkenaan dalam menyokong serta untuk memberi jasa kepada komuniti pada keseluruhannya, kerana satu pain darah boleh menyelamat tiga nyawa.

Sementara itu, penyelia Simpanan Darah Hospital RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud mengatakan para penderma yang ingin dan layak menderma darah adalah perlu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami selesema, demam dan penyakit lain pada masa menderma darah, di samping tidak mengambil sebarang ubat untuk penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, masalah jantung dan sebagainya.

Menurutnya lagi, bagi para penderma remaja mereka haruslah mempunyai berat badan 45 kilogram dan berusia 17 tahun ke atas dengan borang kebenaran yang ditandatangani oleh ibu bapa masing-masing.

Haji Matusop ketika memeriksa darah salah seorang penderma sebelum disahkan layak untuk menderma darah.
Haji Matusop ketika memeriksa darah salah seorang penderma sebelum disahkan layak untuk menderma darah.
Salah seorang pelanggan Pusat Membeli-Belah Times Square yang ikut serta menderma darah dalam kempen berkenaan.
Salah seorang pelanggan Pusat Membeli-Belah Times Square yang ikut serta menderma darah dalam kempen berkenaan.

Beliau juga berkata mereka yang berminat untuk menderma darah boleh mengunjungi Pusat Derma Darah RIPAS ketika waktu pejabat atau menghubungi talian 2242424 sambungan 5745 dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Penyelia Derma Darah, Haji Matusop di talian +673-8780383.

ARTIKEL YANG SAMA