Times Square dimeriahkan dengan DC Adventure

Times Square dimeriahkan dengan DC Adventure

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Karnival Mini ke-9: Edisi DC Adventure yang diadakan sempena cuti penggal pertama persekolahan di Pusat Membeli-Belah Times Square bakal berakhir esok.

Karnival yang telah bermula sejak 23 Mac itu diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan seperti pertandingan mewarna, ‘My Little Pony Costume’ dan Best Impersonator yang diadakan kelmarin.

Menurut kenyataan Times Square, tiga pemenang teratas dalam pertandingan mewarna dan pakaian beragam ‘My Little Pony Costume’ menerima hadiah-hadiah tajaan Best Eastern.

Manakala itu, pemenang pertama pertandingan Best Impersonator telah membawa pulang medal dan wang tunai $80 dan tempat kedua menerima medal serta wang tunai $50.

Tiga pemenang sagu hati turut menerima hadiah berupa dua tiket Ultraman setiap seorang tajaan Human Capacity Building (HCB) Consultancy Service.

Pertandingan makan yang disokong oleh Sugarbun.
Pertandingan makan yang disokong oleh Sugarbun.
Pemenang pertama pertandingan Best Impersonator.
Pemenang pertama pertandingan Best Impersonator.

Satu lagi acara tarikan dalam karnival berkenaan adalah, pertandingan makan yang disokong oleh Sugarbun, di mana lima peserta bersaing. Makanan yang disediakan adalah burger 8 inci, nasi 800 gram dan lapan ketul paha ayam yang diadakan pada Jumaat hingga Ahad.

Para pemenang membawa pulang satu tiket Ultraman tajaan HCB.

Selain daripada itu, kuiz-kuiz dan aktiviti sampingan seperti permainan merebut kerusi mengikut muzik juga dijalankan sepanjang acara berkenaan. Maskot-maskot turut membuat kemunculan untuk memberi peluang kepada orang ramai merakamkan gambar.

Permainan lain yang turut diadakan termasuk meletupkan belon, mesin Star Wars, bola jaring, permainan damak, baling gelung dan banyak lagi.

Orang ramai masih lagi berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti menyeronokkan berkenaan pada hari terakhir esok.

Dalam pada itu, Times Square dalam kenyataannya turut memberitahu bahawa pihak mereka akan mengadakan beberapa acara dalam masa terdekat ini seperti Pameran Perkahwinan ke-4 pada 7 hingga 10 April, penyampaian hadiah cabutan bertuah ke-2 pada 15 Mei dan Pameran Ramadan pada 20 Jun hingga 5 Julai nanti.

ARTIKEL YANG SAMA