Timor-Leste ingin belajar dari Brunei

Timor-Leste ingin belajar dari Brunei

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Sebagai tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia-Pasifik 2016, Brunei telah menunjukkan ke seluruh dunia komitmennya untuk menyumbang ke arah mengurangkan lapisan ozon dan diharap usaha ini akan berterusan bukan sahaja di Brunei tetapi juga di negara-negara lain.

Demikian kata Menteri Perdagangan, Industri dan Alam Sekitar Timor-Leste, Constancio Pinto dalam temu bual bersama Media Permata di Hotel Orchid Garden, di sini hari ini.

Beliau berada di Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia-Pasifik 2016 yang bermula dari 3 sehingga 5 Ogos.

Menyentuh mengenai pemuliharaan Borneo di mana Brunei telah bekerjasama dengan Malaysia dan Indonesia dalam inisiatif Nadi Borneo, beliau berpendapat “mana-mana inisiatif ke arah melindungi alam sekitar, terutama dalam bahagian biodiversiti, adalah penting untuk kita dan mudah-mudahan kita akan melihat ke arah itu dan jika dapat, kami pun boleh menjadi sebahagian daripadanya juga.

“Sebagai sebuah negara yang keluar daripada peperangan di mana alam sekitar kami telah musnah, kami perlu melindungi biodiversiti. Oleh yang demikian, kami mahu mempelajari daripada inisiatif berkenaan.”

Constancio Pinto ketika ditemu bual Media Permata kelmarin.
Constancio Pinto ketika ditemu bual Media Permata kelmarin.

Ditanya mengenai potensi kerjasama yang ada antara Brunei dan Timor-Leste dari segi pemuliharaan, Pinto menjelaskan, mereka telah berbincang mengenai perkara itu baru-baru ini di mana berkemungkinan mengadakan kerjasama dari segi pembinaan keupayaan.

“Kami boleh menghantar orang kami ke Brunei untuk belajar, untuk dilatih dalam pelbagai bidang yang luas mengenai hutan hujan.

“Hutan hujan adalah potensi untuk mana-mana kehidupan. Apabila kita bercakap mengenai biodiversiti, tiada air, tiada apa yang akan terus hidup, termasuk manusia. Oleh itu, ia adalah benar-benar penting untuk melindunginya, untuk memelihara hutan hujan.

“Kadang-kadang anda perlu membuat keputusan yang tepat, dan kita telah melakukan ini di Timor-Leste, dan pembangunan juga perlu bergerak ke hadapan, jika kita tidak membina jalan ia bermakna bahawa ekonomi tidak akan bergerak. Ini bermakna kita perlu mencari jalan bagaimana untuk meneruskan pembangunan di samping melindungi alam sekitar pada masa yang sama.”

“Brunei sebagai sebuah negara kecil seperti Timor-Leste, terdapat banyak perkara yang boleh dikongsi dalam bidang alam sekitar, industri, pembinaan keupayaan, dan seperti yang anda tahu kita telah melabur banyak dalam modal manusia, pembangunan.

“Kami telah menghantar orang ke negara lain untuk dilatih. Kami juga boleh menghantar orang kami ke Brunei. Sesuatu yang baik ialah kami dapat berbahasa Indonesia supaya kita boleh berkomunikasi dengan tidak ada masalah.”

Katanya, Timor-Leste juga meninjau kerjasama dari segi penerokaan minyak dan pemprosesan.

“Terdapat banyak minyak dan gas di Timor Leste, dalam dan luar pesisir, dari segi kuantiti kami masih perlu melakukan lebih ukur. Terdapat takungan besar minyak dan gas dan yang terbesar yang merupakan takungan Greater Sunrise yang masih dalam rundingan dengan Australia dan ia akan mengambil sedikit masa.”

Menyentuh mengenai pelaburan yang Timor-Leste sedang laksanakan ketika ini, Pinto menjelaskan bahawa pelaburan terbesar mereka sekarang adalah ke atas infrastruktur seperti jalan raya, elektrik, bekalan air bersih selain pendidikan dan kesihatan.

“Kami akan membina sebuah pelabuhan laut baru di Dili dua kilometer dari lapangan terbang. Sebuah syarikat Perancis telah memenangi bidaan berkenaan. Oleh yang demikian pembinaan akan bermula tahun depan dan ia akan menjadi tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang akan belayar ke Lautan Pasifik. Ia akan menjadi cukup besar untuk menampung kapal-kapal besar yang menuju ke Australia atau New Zealand.”

Pinto berharap menjelang tahun 2018 hingga 2020, semua jalan raya akan siap dibaiki dan diperluaskan di seluruh Timor-Leste, kerana ia adalah penting untuk pelancongan, dan beliau juga berpendapat bahawa Timor-Leste mempunyai potensi besar dalam pelancongan, hanya perlu mempunyai infrastruktur yang bersedia supaya mereka boleh menarik syarikat-syarikat dari negara asing untuk melabur.

ARTIKEL YANG SAMA