Timor Leste menang 4-2

Timor Leste menang 4-2

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Tiada gol terhasil pada separuh masa pertama di sebalik peluang-peluang tercipta namun pesta enam gol memeriahkan separuh masa kedua yang memihak kepada Timor Leste dengan jaringan 4-2 ke atas Filipina.

Gol yang ditunggu-tunggu pada perlawanan Kumpulan A Festival Bolasepak Serantau Bawah 14 Tahun (B-14) AFC 2015 di Kompleks Sukan Berakas (KSB) itu hadir pada minit ke-36 menerusi tandukan Nivio Maro Angelo Alberto untuk Timor Leste mendahului 1-0.

Namun Timor Leste dikejutkan dengan tendangan jarak jauh Rob Cyroq Barcuma Delima dari bulatan tengah sebaik sepak mula hanya beberapa saat selepas jaringan pertama Timor Leste, yang tinggi melangkaui jangkauan penjaga gol Timor Leste dan menerjah gawang untuk gol penyamaan Filipina.

Pada kedudukan 1-1, perlawanan kembali sengit di sebalik dominasi bahagian tengah oleh Timor Leste, namun akhirnya Timor Leste kembali di depan, 2-1, menerusi jaringan Benny Francisco Gomes Morais Ribeiro pada minit ke-46.

Nivio Maro Angelo Alberto menambah selesa pendahuluan Timor Leste dengan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-48 untuk Timor Leste mendahului 3-1.

Alberto menanduk hantaran rakannya dari sayap kanan semasa menentang Filipina (biru).
Alberto menanduk hantaran rakannya dari sayap kanan semasa menentang Filipina (biru).

Gol sendiri Mateus Mithelio Madeira Soares Hornai pada masa kecederaan, 60+2, yang merapatkan jaringan menjadi 3-2 memberikan semangat kebangkitan buat Filipina mencari gol penyamaan.

Bukan gol penyamaan yang hadir seminit kemudian tetapi sebaliknya gol ‘pembunuh’ jaringan Rivaldo Dos Santos Pereira untuk perlawanan dimuktamadkan pada kedudukan 4-2 memihak Timor Leste.

Filipina akan melayani Myanmar malam ini di KSB bermula jam 8:15 malam sebelum menamatkan festival dengan menentang Malaysia esok, Sabtu, 22 Ogos pada jam 4 petang, juga di KSB.

Timor Leste pula akan menamatkan aksinya dalam festival tahun ini esok, (Sabtu) dengan menentang tuan rumah Brunei Darussalam pada jam 8:15 malam di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

ARTIKEL YANG SAMA