Tindakan ke atas majikan yang menggaji pekerja tidak sah

Tindakan ke atas majikan yang menggaji pekerja tidak sah

SIBU, 30 April – Jabatan Imigresen memberi amaran bahawa majikan yang didapati menggaji pekerja asing secara tidak sah akan dikenakan tindakan undang-undang walaupun para pekerja mereka itu dibawa masuk ke negara ini secara sah.

Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak Hamfatullah Syawal Hamdan mengingatkan bahawa majikan wajib menguruskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebelum memulakan pekerjaan bagi mengelakkan para pekerja itu daripada bekerja secara tidak sah dalam negara.

“Dalam kes seperti ini, kita boleh tangkap warga asing itu dan majikan mereka. Walaupun mereka memasuki negara secara sah tetapi mereka dianggap salah guna pas lawatan sosial selagi PLKS tidak diperoleh.

“Dari segi majikan, mereka ini dianggap tidak bertanggungjawab dan mereka dianggap melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sedangkan mereka sedia maklum bahawa pekerja di bawah mereka tidak mempunyai pas sah untuk bekerja, tindakan juga akan kita ambil ke atas majikan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kira-kira 200 pekerja warga Indonesia di sebuah ladang kelapa sawit di Selangau, bahagian Sibu bahawa mereka ditipu majikan dan menuntut janji majikan agar diberi permit kerja serta bayaran gaji tertunggak.

Majikan yang menggaji pekerja secara tidak sah boleh ditangkap mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap orang pekerja haram.

Majikan berkenaan juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak melebihi enam sebatan. –Bernama