Tindakan keras anggota bersubahat dengan PATI

Tindakan keras anggota bersubahat dengan PATI

TAWAU, 20 Sept – Polis akan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didapati bersubahat sehingga menyebabkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya membolosi perairan daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata sekiranya terbukti adanya penglibatan polis termasuk dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Marin atau mana-mana cabang pasukan polis dalam kegiatan tidak bermoral itu, maka tindakan tegas akan dikenakan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video pendedahan sebuah program TV, TransMedia Indonesia mengenai kemasukan PATI Indonesia ke Tawau yg diviral menerusi Facebook, sejak Ahad.

Video berdurasi 11 minit itu mendedahkan betapa mudahnya rakyat Indonesia, memasuki Tawau secara haram hanya dengan memberi upah (rasuah) sekitar RM50 sehingga RM100 kepada pihak berkuasa Malaysia yang bertugas memantau perairan dan menjaga pelabuhan.

Dalam pada itu, Fadil berkata pihaknya sedang menyiasat mengenai kesahihan video berkenaan yang dimuat naik seorang netizen yang dikongsi sebanyak 2,500kali dan ditonton 5,700 kali.

“Kita masih dalam proses menyiasat kesahihan video tersebut dan semua inti pati yang digambarkan dalam paparan video itu…tindakan sewajarnya akan dijalankan berhubung pendedahan video tersebut,” katanya. – Bernama