Tindakan pant...

Tindakan pantas bomba selamatkan pangsapuri daripada hangus

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Tindakan pantas Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan sebuah bangunan pangsapuri di Jalan Kumbang Pasang di sini daripada rentung dalam kejadian kebakaran jam 10:36 pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran bangunan itu melalui Pusat Gerakan 995 dan segera mengerahkan empat buah jentera bomba ke tempat kejadian.

Setiba di tempat kejadian, anggota-anggota bomba mendapati api sedang marak di sebuah unit pangsapuri kosong di tingkat satu bangunan itu.

Seramai 17 anggota bomba diketuai Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat, Awang Hanif bin Haji Subuh dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan berjaya mengawal api dalam masa 7 minit.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran dipercayai meragukan, manakala anggaran kerugian masih dalam siasatan.