Tindakan pantas doktor selamatkan anggota Malbatt

Tindakan pantas doktor selamatkan anggota Malbatt

BEIRUT, 9 Sept – Anggota pasukan Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-3 yang diserang strok baru-baru ini telah dibawa balik ke Malaysia dan kini menerima rawatan susulan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata Pegawai Waran II Wan Jaflan Wan Ariffin pada 6 Ogos telah mengadu sakit kepala dan menemui Mejar Dr N.Puvenavikneswaran yang bertugas di klinik Kem Ma’rakah, Tyre kira-kira 80 km dari Beirut.

Dr Puvenavikneswaran mendapati ketulan darah beku di otak kiri Wan Jaflan dan terus menghantarnya ke Hospital Hamoud, Beirut untuk pemeriksaan, katanya kepada RTM dan Bernama di sini kelmarin.

“Sedang dalam perjalanan, anggota itu pengsan di dalam ambulans dan setibanya di hospital, doktor pakar mendapati anggota itu mengalami strok dan perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia bergerak menuju ke kapal terbang semasa Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-4 ke Lebanon, di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Rabu lalu. – Bernama
Anggota Angkatan Tentera Malaysia bergerak menuju ke kapal terbang semasa Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-4 ke Lebanon, di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Rabu lalu. – Bernama

Beliau berkata tindakan pantas Dr Puvenavikneswaran telah menyelamatkan Wan Jaflan daripada risiko yang lebih berbahaya.

Mohd Johari berkata Wan Jaflan yang berasal dari Kelantan merupakan seorang anggota yang aktif dalam aktiviti kesenian diperingkat antarabangsa dan telah diberikan sijil daripada Duta Besar Malaysia ke Lubnan Bala Chandran Tharman atas sumbangan dan penglibatannya dalam aktiviti dianjur kedutaan itu.

Mohd Johari kini berada di Beirut untuk melihat sendiri kesiapsiagaan Pasukan Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-4 dalam misi keamanan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

Beliau tiba pada Rabu lepas bersama 215 anggota dan pegawai kumpulan pertama  Malbatt 850-4 yang diketuai Kolonel Nazim Mohd Alim. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA