Tindakan Pyongyang jejas kestabilan

Tindakan Pyongyang jejas kestabilan

WASHINGTON, 7 Feb (Reuters) – Amerika Syarikat (AS) berikrar mengambil langkah perlu mempertahankan diri dan sekutunya berikutan pelancaran roket Korea Utara, selain menggesa masyarakat antarabangsa menunjukkan kepada Pyongyang ‘tindakan melulunya bakal berdepan akibat buruk.’

Pelancaran roket berkenaan disifatkan berjaya kerana dapat meletakkan objek di orbit, menyangkal laporan awal media menyatakan roket itu mungkin gagal dalam pelancarannya.

“Pelancaran roket Korea Utara menggunakan teknologi peluru berpandu balistik menunjukkan satu lagi tindakan menjejaskan kestabilan dan provokatif dan pelanggaran pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Program peluru berpandu dan senjata nuklear Korea Utara memberi ancaman serius kepada kepentingan kami, termasuk keselamatan beberapa sekutu rapat kami. Kami mengutuk pelancaran ini,” kata Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Susan Rice. Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar di New York berhubung pelancaran roket jarak jauh itu, kata diplomat.

Pertahanan Jepun bersedia bagi sebarang ancaman daripada pihak Korea Utara. - Reuters
Pertahanan Jepun bersedia bagi sebarang ancaman daripada pihak Korea Utara. – Reuters

Mesyuarat tertutup itu dibuat atas permintaan Korea Selatan selain Jepun dan Amerika yang menganggotai majlis itu dan mengutuk keras pelancaran berkenaan.

Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye, berkata pelancaran roket jarak jauh itu adalah ‘tindakan provokasi tidak boleh dimaafkan’ dan menggesa Majlis Keselamatan mengenakan sekatan keras terhadap rejim berkenaan. Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, menyifatkan ‘tiada tolak ansur’ berhubung pelancaran yang jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA