Tindakan segera mampu kekang ancaman IS

Tindakan segera mampu kekang ancaman IS

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Kumpulan militan IS, juga dikenali sebagai pengganas DAESH, tidak mampu bertapak di rantau ini berikutan tindakan segera yang diambil ASEAN dan rakan serantaunya dalam mengekang ancaman mereka, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau bagaimanapun memberi peringatan bahawa adalah suatu kebodohan bagi mana-mana pihak untuk bersikap selesa dengan keadaan yang ada sekarang.

Ketika berucap merasmikan Dialog Panglima Angkatan Tentera Selatan dan Asia Tenggara (SASEAN) kedua di sini hari ini, Hishammuddin berkata adalah jelas bahawa tiada sebarang negara, biar betapa lengkap sekalipun sumber yang dimilikinya, mampu menangani masalah ini secara bersendirian.

“Ia merentas sempadan negara. Kita perlu menerima realiti baharu ini dan mula memandang melebihi sempadan kita untuk memelihara keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bergambar bersama para panglima tentera. Turut sama ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah (depan, tiga dari kiri). - Bernama
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bergambar bersama para panglima tentera. Turut sama ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah (depan, tiga dari kiri). – Bernama

Hishammuddin berkata semua pihak perlu sedar bahawa walaupun sesuatu ancaman atau konflik itu bersifat setempat, tetapi potensinya untuk merebak ke negara atau rantau lain, sentiasa ada.

Hishammuddin juga menegaskan tentang perlunya diplomasi ketenteraan, pertukaran maklumat risikan dan forum komunikasi ditingkatkan.

“Tetapi, semua ini tidak akan memberi kesan besar jika negara tidak bersikap jujur, terbuka dan telus antara satu dengan lain dalam perkara berkaitan cabaran keselamatan.

“Kita masing-masing mempunyai kepentingan negara, tetapi janganlah kita lupa bahawa lazimnya, adalah lebih berkesan jika wujud kerjasama antara satu dengan lain,” katanya pada majlis itu yang bertemakan Kerjasama Serantau Ke Arah Mencapai Keselamatan dan Kestabilan.

Dialog dua hari itu, yang berakhir esok, dihadiri para pemimpin angkatan tentera dan wakil mereka dari Negara Brunei Darussalam, Filipina, Laos, Vietnam, Thailand, Singapura dan Malaysia, di samping Bangladesh, India, Nepal, Maldives, Pakistan dan Sri Lanka.

Amerika Syarikat, China dan Rusia menghantar pemerhati masing-masing. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA