Tindakan tegas akan diambil

Tindakan tegas akan diambil

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pengarang portal berita dalam talian diingat agar tidak memaparkan semula bahan daripada The Sarawak Report yang telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan di sini berkata tindakan menyebarkan semula laporan yang dibuat portal yang telah disekat itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagi memastikan perkara itu difahami, SKMM telah mengadakan perjumpaan dengan pengarang-pengarang portal berita semalam dan telah mengingatkan mereka bahawa tindakan boleh diambil terhadap sebarang pemberitaan yang palsu atau tidak tepat.

Selain itu, tindakan juga boleh diambil terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian sesebuah negara, terutamanya dari segi ekonomi dan keselamatan nasional, menurut kenyataan itu.

“Justeru, SKMM bertegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melaporkan sesuatu laporan yang palsu atau tidak tepat, ataupun menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya,” menurut kenyataan itu.

SKMM turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan portal berita yang telah menggunakan tajuk utama dan artikel yang menyimpang daripada konteks sebenar berhubung kenyataan yang dibuat Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin pada pertemuan itu semalam. – Bernama