Tindakan tegas atas kenderaan berat

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Pemandu treler yang membuat pusingan U bukan di tempat dibenarkan sehingga mengakibatkan gangguan lalu lintas di kawasan terbabit dan ditularkan dalam WhatsApp pada 2 Mac lalu, telah dikenakan kompaun.

Pemandu berkenaan dikenakan kompaun mengikut undang-undang di bawah Bab 39 (1) Penggal 68 (iaitu tidak mematuhi tanda-tanda lalu lintas jalan raya) bagi kesalahan pertama.

“Selain itu, pemandu juga dikenakan mata demerit (SiKAP) dan diarahkan untuk menduduki ujian memandu semula mengikut perundangan Bab 22 Penggal 68 iaitu membahayakan keselamatan bagi pengguna-pengguna jalan raya yang lain dan jika gagal dalam ujian tersebut, lesen memandu pemandu akan dibatalkan,” jelas Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Pada sidang media di Tingkat 3, Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), di Beribi, hari ini, beliau turut menjelaskan susulan kejadian berkenaan, JPD telah menghubungi pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan keterangan.

Kejadian terjadi di jalan raya berdekatan Sekolah Rendah Sungai Besar yang menyebabkan treler tersebut tidak dapat bergerak dengan lancar, jalan raya sesak dan mengakibatkan ketidakselesaan serta boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat (dua, kiri) ketika bercakap pada sidang media yang berlangsung di Tingkat 3, Ibu Pejabat JPD, di Beribi, kelmarin.

Beliau juga menjelaskan bahawa Lembaga Pengangkutan Bermotor (MTLA) telah memberikan amaran keras secara bertulis kepada syarikat berkenaan untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

JPD dan MTLA mengingatkan syarikat-syarikat logistik dan pengangkutan di negara ini agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ada bagi mengelakkan tindakan lebih keras diambil sehingga menjejaskan operasi perniagaan syarikat.

Selain menyentuh mengenai amaran tidak mematuhi tanda-tanda lalu lintas jalan raya, Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat juga memberi amaran keras kepada kenderaan berat yang lebih muatan.

“JPD memberi amaran keras kepada syarikat-syarikat logistik dan pengangkutan serta pemandu-pemandu syarikat berkenaan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahi undang-undang lalu lintas terutama yang melibatkan kenderaan-kenderaan berat,” ujarnya.

Amaran tersebut dikeluarkan semasa operasi penguatkuasaan JPD yang diadakan kelmarin, bermula 3:30 petang hingga 10 malam di Lebuh Raya Muara-Tutong dan Jalan Muara.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 16 kompaun telah dikeluarkan dan daripada jumlah ini, tujuh kompaun adalah di bawah kesalahan kenderaan membawa muatan berlebihan.

Operasi-operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JPD pada tahun 2016 dan 2017 telah merekodkan sebanyak 1,334 kes kesalahan lalu lintas yang membabitkan kenderaan berat.

Daripada jumlah berkenaan, 50 peratus daripadanya adalah kesalahan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan, 27 peratus kesalahan melibatkan kelayakan kenderaan dan membawa muatan secara membahayakan dan 10 peratus kompaun dikenakan bagi kenderaan berat yang dipandu dengan keadaan tayar botak.

Pada tahun 2017, bagi kesalahan membawa lebih berat muatan iaitu kesalahan di bawah Peraturan 161 Lalu Lintas Jalan Raya, sebanyak 224 kompaun telah dikeluarkan.

Daripada jumlah itu, 133 daripadanya adalah kesalahan yang dilakukan di kawasan Serasa yang melibatkan 33 buah syarikat. Manakala itu, kawasan-kawasan lain antaranya adalah Lebuh Raya Muara-Tutong, Lebuh Raya Tutong/Telisai dan Jalan Tutong kawasan Kampung Madewa.

“Amaran terakhir telah diberikan kepada syarikat-syarikat tersebut dan jika didapati mengulangi kesalahan, jabatan ini bersama pihak penguatkuasaan yang lain tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap para pemandu yang gagal mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya.

“Ini termasuklah menggantung atau membatalkan lesen memandu, lesen kenderaan dan permit syarikat sesuai mengikut prosedur dan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini,” tambah Pengiran Mohd Amirrizal.

JPD sekali lagi menekankan kepada pengusaha-pengusaha dan pemilik syarikat pengangkutan supaya bersifat bertanggungjawab dan supaya akan memberi amaran tegas kepada pemandu-pemandu syarikat supaya mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya bagi meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta tidak merosakkan jalan raya di negara ini.