Tindakan tegas terhadap pelumba haram

Tindakan tegas terhadap pelumba haram

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Sept – Pasukan Polis Diraja Brunei memberi amaran kepada mereka yang terlibat dengan perlumbaan haram untuk menghentikan aktiviti tersebut dengan serta-merta.

Dalam kenyataan hari ini, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas undang-undang kepada sesiapa juga yang gagal mematuhi amaran ini berikutan operasi pencegahan lumba haram yang dijalankan kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 37A (7) Siasatan Lalu Lintas Jalan (Road Traffic Act) Penggal 68 dengan denda minimum $1,000 dan maksimum $2,000 atau penjara selama enam bulan, pada masa yang sama lesen memandu akan digantung.

Dakwaan lain yang boleh dihadapi ialah memandu dengan kelajuan maksimum di bawah Seksyen 24 Siasatan Lalu Lintas Jalan Penggal 68, yang boleh dikenakan denda sehingga $2,000 dan didakwa di bawah Seksyen 28(1) RTA kerana memandu dengan bahaya yang membawa hukuman denda sehingga $10,000 atau penjara selama dua tahun.

Pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan pihak berkuasa juga boleh dikenakan bayaran denda kompaun di bawah Peraturan Lalu Lintas Jalan Penggal 68 (Road Traffic Regulations).

Dalam strategi pencegahan jenayah dan lalu lintas, operasi pencegahan lumba haram akan lebih giat dijalankan untuk memastikan jalan raya selamat daripada sebarang penyalahgunaan yang membuatkan pengguna lain dan orang awam yang tinggal berdekatan lokasi perlumbaan merasa terkesan dan tidak tenteram.

Dalam operasi pencegahan lumba haram yang dikendalikan oleh Daerah Polis Brunei Muara dan Balai Polis Pusat di kawasan JalanTerunjing, Jalan Utama Tanah Jambu dan Lebuh Raya Rimba Link hala ke Tungku itu kelmarin, dua orang pemandu telah diambil tindakan masing-masing atas kesalahan kenderaan tidak mempunyai cukai jalan yang sah dan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran pihak berkuasa,.

Pihak Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya turut menasihatkan para pemilik kenderaan agar dapat memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan tiada sebarang pengubahsuaian tanpa kelulusan pihak berkuasa.

ARTIKEL YANG SAMA