Tindakan tegas ucapan mengandungi hasutan

Tindakan tegas ucapan mengandungi hasutan

MIRI, 11 Mac (Bernama) – Polis hari ini memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang membuat ucapan mengandungi elemen hasutan dalam perhimpunan dirancang di negara ini pada 27 Mac.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sesiapa yang berucap pada perhimpunan itu, walaupun diadakan di kawasan tertutup, perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana polis akan mengambil tindakan jika menyentuh perkara yang ada unsur menghasut.

“Saya tidak tahu di mana mereka nak buat perhimpunan tapi walaupun dalam kawasan tertutup kami (polis) akan pantau (ucapan),” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di sini Jumaat.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara yang telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan yang dicadangkan oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bertujuan untuk membantah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berhubung pilihan raya negeri Sarawak ke-11 yang perlu diadakan menjelang Jun, Khalid berkata, polis sudah mengenal pasti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka berlaku situasi tegang.

Enggan mendedahkan kawasan DUN itu, beliau berkata polis kini sudah bersiap siaga untuk mengawal aspek keselamatan di kesemua 82 kerusi DUN.

Mengenai ancaman militan Daesh di Sarawak, beliau berkata, polis melakukan pemantauan untuk mengelak militan menyusup masuk ke Sarawak.

Sejumlah 164 anggota dan pegawai polis yang bertugas semasa pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013 menerima Pingat Kedaulatan Negara.