Tindakan Thailand sejajar dasar antarabangsa

Tindakan Thailand sejajar dasar antarabangsa

BANGKOK, Thailand, 19 Julai – Penghantaran pulang lebih 100 penghijrah China oleh Thailand adalah sejajar dengan dasar antarabangsa, menurut seorang pakar Thai mengenai hal ehwal antarabangsa.

Pada 9 Julai, Thailand menghantar pulang ke China seramai 109 penghijrah haram yang sedang dalam perjalanan ke Turki, Syria atau Iraq untuk menyertai “jihad,” menurut Kementerian Keselamatan Awam China.

Penghijrah berkenaan menyeberangi sempadan secara haram, di samping ada di antara mereka adalah penjenayah malah tersangka pengganas, kata Li Renliang, profesor di Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional Thailand, dalam satu temu bual dengan Xinhua baru-baru ini.

Pihak berkuasa Thai memulangkan mereka ke China seperti yang ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa, dan operasi penguatkuasaan undang-undang Thailand-China adalah sejajar dengan perjanjian antarabangsa yang relevan dan perjanjian dua hala dan dengan itu adalah wajar dan sah, tambah Li.

Siasatan polis menunjukkan penghijrah berkenaan, yang digalakkan oleh fahaman pelampau Islam, berhasrat berkunjung menerusi negara termasuk Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand dan Turki sebelum memasuki Syria dan Iraq untuk menyertai “jihad” di sana.

Beberapa kerajaan, kata Li, telah mengkritik kerjasama biasa di antara China dan Thailand dalam memerangi penghijrahan haram. Mereka melabel penghijrah haram, termasuk mereka yang terlibat dalam keganasan, “pelarian” dan berusaha sedaya upaya untuk menghalang penghantaran pulang, kata beliau.

Reaksi mereka, menandakan sikap dwistandard dalam memerangi keganasan, adalah tidak munasabah dan bercanggahan dengan usaha anti-keganasan antarabangsa, kata Li.

Selain daripada itu, Li mendapati beberapa kawasan di selatan Thailand telah dibelenggu fahaman pemisah dan pelampau selama beberapa tahun.

Kemasukan penghijrah haram menimbulkan satu ancaman kepada kestabilan sosial dan keselamatan negara Thailand, kata profesor, menambah pihak berkuasa Thai tidak akan berdiam diri tanpa berbuat apa-apa ketika menghadapi isu tersebut. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA