Tindik telinga anak damit boleh sebabkan kekejangan

Tindik telinga anak damit boleh sebabkan kekejangan

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Semakin ramai ibu bapa ghairah menindik telinga anak damit perempuan mereka hingga kini menjadi semacam satu trend.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa tanpa pengawasan sewajarnya, luka tindikan oleh menyebabkan anak damit mengalami kekejangan dan sawan.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata, jika tidak dirawat atau dibiarkan, luka tindikan boleh menyebabkan jangkitan kuman tetanus.

“Prosedur menindik telinga anak seharusnya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga.

“Pastikan anak telah disuntik dengan vaksin diphtheria-tetanus-pertussis (DTap) yang melindunginya daripada kuman tetanus,” kata beliau kepada Bernama.

Gambar hiasan - Seorang anak damit diberikan tindik di telinganya. - AFP
Gambar hiasan – Seorang anak damit diberikan tindik di telinganya. – AFP

Dr Zubaidi berkata anak damit secara umumnya mempunyai daya tahan yang lemah berbanding orang dewasa.

Justeru beliau mengesyorkan ibu bapa yang mahu menindik telinga anak damit agar menunggu sehingga anak mereka berusia enam bulan ke atas.

Katanya, menindik sebaiknya dilakukan di klinik kerana doktor menggunakan jarum pakai buang yang telah disterilkan.

“Doktor juga akan membius cuping telinga sebelum menindiknya. Selain itu pastikan anting-anting untuk anak damit dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, anting-anting yang dibuat daripada kromium (bahan logam disadur dan mudah berkarat) selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap luka tindikan dalam masa enam minggu pertama dengan membasuh bahagian ditindik itu menggunakan air bersih bagi mengelak jangkitan kuman dan alahan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA