Tingkat daya saing negara

Tingkat daya saing negara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Dunia pada masa sekarang semakin telus dan terbuka di mana era globalisasi telah meletakkan semua lapisan masyarakat berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran.

Untuk itu kita perlu meningkatkan daya saing melalui peningkatan kualiti pendidikan kita. Kita juga perlu mempersiapkan diri para pelajar kita dengan ilmu dan kemahiran untuk melahirkan generasi berkualiti sesuai dengan aliran dan kehendak semasa, yang menuntut kecekapan dan kesiapsiagaan yang tinggi bagi merealisasikan Wawasan Negara 2035.

Ini dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman semasa berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat Pehin, tunjang utama bagi mencapai Wawasan Negara 2035 adalah sebahagian besarnya bergantung kepada sektor pendidikan di negara ini.

“Alhamdulillah setiap tahun kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mampu menyediakan sejumlah peruntukan yang besar untuk sektor pendidikan.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah pencapaian cemerlang Cambridge Outstanding Achievers kepada Dayang Nuruul Aqilah binti Raimin.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah pencapaian cemerlang Cambridge Outstanding Achievers kepada Dayang Nuruul Aqilah binti Raimin.

“Ini kerana, negara meletakkan pendidikan itu sebagai salah satu pelaburan yang diharapkan memberi pulangan, melahirkan masyarakat yang akan memenuhi kehendak masa depan,” ujar beliau sambil menambah bahawa pelaburan dalam pendidikan ini tidak akan mencapai hasil yang dicita-citakan jika pihak-pihak berkepentingan gagal memainkan peranan masing-masing secara optimum.

Yang Berhormat Pehin berkata, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha ke arah meningkatkan kualiti bukan sahaja kualiti para pelajar malah kualiti sekolah, kualiti membaca dan pembelajaran, tenaga pengajar dan pemimpin sekolah.

“Saya menyambut baik akan beberapa inisiatif hasil kolaborasi di antara jabatan di Kementerian Pendidikan. Usaha-usaha meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah seperti mengadakan ‘National Education Forum (NEF)’, adalah sebagai sebahagian dari pembangunan profesional yang berterusan, yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin sekolah dengan perkongsian amalan-amalan terbaik.”

Sambil menekankan bahawa peranan ibu bapa juga adalah amat penting dalam menentukan kecemerlangan anak-anak, Yang Berhormat Pehin menyeru para ibu bapa agar terus menjadi model yang terbaik dalam mendidik anak-anak serta menjadi rujukan dan ikutan bagi yang lainnya dalam meningkatkan kualiti pencapaian pendidikan anak-anak dan sahsiah mereka.

Katanya, Jabatan Sekolah-sekolah terus bergiat aktif merancang dan melaksanakan usaha-usaha dalam merealisasikan kecemerlangan pelajar dan juga ke arah peningkatan kualiti pendidikan dengan pemberian berbagai insentif.

ARTIKEL YANG SAMA