Tingkat disiplin dan lengkapkan keyakinan diri

Tingkat disiplin dan lengkapkan keyakinan diri

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 April – Kekuatan hubungan tali persaudaraan dan kasih sayang terjalin melalui ikatan yang bersandarkan kepada agama tanpa mengenal perbezaan umur, pangkat, bangsa, rupa dan negara.

Berkesinambungan dengan program ‘Dare to be Different’ yang diadakan pada bulan Mac lalu, Belia Ibadur Rahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) baru-baru ini telah mengadakan sesi penghargaan kepada belia-belia Ibadur Rahman yang ikut serta dalam program tersebut di Pantai Penanjong, Tutong.

Seramai 20 belia dan 30 beliawanis dari badan belia tersebut terlibat dalam acara yang turut diisikan dengan beberapa aktiviti seperti berkelah dan beriadah di kawasan pantai tersebut.

Antara aktiviti Belia Ibadur Rahman MHBPT ketika di Pantai Penanjong.
Antara aktiviti Belia Ibadur Rahman MHBPT ketika di Pantai Penanjong.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan itu melibatkan kematangan berfikir, kekuatan fizikal dan mental, meningkatkan motivasi dan disiplin untuk melengkapkan keyakinan diri, bermanfaat untuk jasmani dan juga kepada nilai ukhuwah dan kerohanian di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama peserta.

Ibadur Rahman MHBPT ditubuhkan secara rasmi pada 21 Julai 2013 dan merupakan sebuah badan belia Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong yang dikendalikan oleh para belia dari Daerah Tutong.

Badan belia ini kemudiannya melebarkan sayapnya di bawah sokongan dan penyeliaan daripada Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

ARTIKEL YANG SAMA