Tingkat hubungan sains dan teknologi

Tingkat hubungan sains dan teknologi

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) – Wakil daripada negara-negara anggota ASEAN dan Jepun berhimpun bagi Forum Sains dan Teknologi dalam Masyarakat (STS) hari ini untuk membincangkan hubungan dalam sains dan teknologi (S&T) antara kedua-dua pihak.

Forum tersebut yang menarik kira-kira 100 penggubal dasar, perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan dan media, bertujuan meningkatkan peranan S&T ke arah mencari penyelesaian bagi masa depan yang mampan.

Antara isu yang dibincangkan ialah bekalan tenaga masa depan, pencemaran alam sekitar, kesejahteraan masyarakat, kesihatan dan gender serta belia, menurut Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might) dalam kenyataan.

Forum tersebut merupakan anjuran Might, Pejabat Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun.

Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, anggota Lembaga Penasihat Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ahli majlis Forum STS Kyoto, menekankan kepentingan penglibatan diplomasi sains antara negara-negara anggota ASEAN dan Jepun.

“Jepun dilihat sebagai peneraju penting dalam S&T dan penglibatannya dengan negara-negara anggota ASEAN menggalakkan S&T untuk pembangunan masyarakat baik untuk keamanan dan kemakmuran di dunia ini,” katanya.