Tingkat hubungan tentera Brunei-China

Tingkat hubungan tentera Brunei-China

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Hubungan ketenteraan antara Brunei dan China sentiasa diperkukuhkan dengan bertukar-tukar pandangan mengenai keadaan keselamatan serantau dan isu-isu kepentingan bersama dengan pemimpin pertahanan Brunei.

Sebagai hasilnya, persefahaman dan amanah diperkukuhkan secara kondusif untuk menyatukan pembangunan hubungan ketenteraan dua hala dalam jangka masa panjang.

Perkara berkenaan disentuh oleh Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian pada Majlis Resepsi Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) ke-89 tahun yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan datin.

Duta Besar China seterusnya berharap agar momentum itu akan dikekalkan dan dipertingkatkan serta kerjasama pertahanan dua hala yang rapat akan menyuntik nafas baru dalam meningkatkan persahabatan antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Pertahanan memotong kek bersama Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.
Timbalan Menteri Pertahanan memotong kek bersama Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.
Tetamu kehormat menerima hadiah cenderahati yang disampaikan oleh Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam.
Tetamu kehormat menerima hadiah cenderahati yang disampaikan oleh Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam.

Katanya lagi, China akan terus berusaha membina hubungan ketenteraan serta diplomasi pertahanan dengan negara-negara lain berteraskan kepada kesamarataan, manfaat bersama serta kerjasama selain mengambil tanggungjawab dalam menggalakkan keamanan dan keselamatan dunia menerusi penyertaan dalam tugas-tugas bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Di Asia Pasifik, kerjasama ketenteraan antara China dan negara-negara lain di rantau ini terus berkembang dan sehingga kini ia telah mewujudkan mekanisme dialog dan perundingan ketenteraan dengan 13 buah negara jiran serta mengadakan lebih 50 latihan bersama dengan negara-negara di Asia Pasifik, tambah beliau.

Majlis resepsi berkenaan dimeriahkan lagi dengan upacara memotong kek sempena ulang tahun ke-89 PLA diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan datin yang disampaikan oleh Duta Besar China.

Tetamu kehormat dan tetamu yang hadir turut dipersembahkan dengan tayangan video perkembangan sejarah PLA dalam penglibatan semasa perang sehingga sepanjang 88 tahun penubuhannya.

ARTIKEL YANG SAMA