Tingkat ilmu cara hidup sihat

Tingkat ilmu cara hidup sihat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan tentang cara hidup sihat, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Bahagian Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan menganjurkan Jerayawara Kebangsaan Amalan Cara Hidup Sihat bagi pelajar-pelajar sekolah agama kawasan Brunei I yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini sehingga 27 Ogos.

Jerayawara yang diadakan di Dewan Sekolah Ugama Pusar Ulak itu menyasarkan murid-murid Darjah 4 dari 16 buah sekolah agama kawasan Brunei I, iaitu Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sekolah Ugama Pulaie, Sekolah Ugama Raja Isteri Fatimah, Sekolah Ugama Mabohai, Sekolah Ugama Haji Mohd Jaafar, Kampong Kiulap, Sekolah Ugama Pintu Malim, Sekolah Ugama Pelambayan, Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Sekolah Ugama Haji Tarif, Sekolah Ugama Pengiran Bendahara Lama, Sekolah Ugama Begawan Udana Khatib Haji Awang Umar, Sekolah Ugama Sungai Kebun, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Besar, Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Ugama Pusar Ulak dan Sekolah Ugama Sekolah Sukan.

Ia diisikan dengan ceramah, kuiz, tayangan klip video dan pameran-pameran kesihatan seperti pameran Perbandingan Kalori dalam Makanan dan Minuman, Faedah Kegiatan Fizikal, Minumlah Lapan Gelas Air Sehari dan banyak lagi.

Dayang Siti Noor Rozainatul Ihsan semasa menyampaikan ceramah.
Dayang Siti Noor Rozainatul Ihsan semasa menyampaikan ceramah.

Manakala itu, ceramah petang tadi telah disampaikan oleh wakil dari Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Siti Noor Rozainatul Ihsan binti Haji Rosmali dan Awang Mohd Shazwan bin Rahaman.

Pegawai perubatan Pusat Promosi Kesihatan, semasa jerayawara itu mengongsikan hasil dapatan Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Sekolah Global (GSHS) 2014 yang dijalankan dalam kalangan pelajar yang berumur 13 hingga 17 tahun.

Hasil kaji selidik ini telah membuktikan bahawa golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat menunjukkan peningkatan risiko mengidap penyakit-penyakit tidak berjangkit pada usia dewasa jika tidak ditangani awal termasuk penyakit kanser, penyakit jantung, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan strok.

Jerayawara berkenaan juga bertujuan untuk menjaga kesihatan para pelajar sebagai amalan harian mereka dan meningkatkan kesedaran terhadap bahaya penyakit-penyakit kronik yang tidak berjangkit.

ARTIKEL YANG SAMA