Tingkat ilmu Muaythai di Phuket, Thailand

Tingkat ilmu Muaythai di Phuket, Thailand

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Hitune Fitness menghantar dua orang pelatihnya mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menyertai kempen latihan Muaythai terbesar yang dikenali sebagai ‘Kempen Latihan Tiger Muaythai’ di Phuket, Thailand.

Dua pelatih Muaythai tersebut ialah Awang Diddy Mazni dan Feez yang menjalani latihan selama dua minggu bermula semalam, 25 November sehingga 1 Disember depan.

Tujuan latihan itu adalah untuk memberikan pengetahuan lanjut mengenai asas-asas Muaythai di samping mengembangkan lagi kemahiran mereka dalam bidang Muaythai, sekaligus mampu mengubah kehidupan mereka ke arah lebih berdisiplin. Awang Diddy Mazni yang kini sudah pun berada di Phuket, Thailand memberitahu Media Permata hari ini bahawa latihan sudah memasuki hari kedua yang turut dijalani oleh teman sepelatihnya.

Mengenai latihan yang dijalaninya, Awang Diddy berasa amat teruja dan mengakui pertama kali menyertainya adalah amat sukar kerana latihan Muaythai sangat serius serta banyak pelajaran baru yang perlu diketahui, terutama dari segi disiplin dan teknik-teknik Muaythai yang betul.

Awang Diddy turut mengongsikan bahawa majoriti peserta yang mengikuti latihan tersebut adalah terdiri daripada peserta-peserta luar negara seperti dari Amerika Syarikat, Barcelona, Brazil, Perancis, Oman, Korea dan Taiwan.

Awang Diddy Mazni (kanan) berkesempatan bergambar bersama tenaga pengajar Muaythai, Kru Dang. – Gambar ihsan Diddy Mazni
Awang Diddy Mazni (kanan) berkesempatan bergambar bersama tenaga pengajar Muaythai, Kru Dang. – Gambar ihsan Diddy Mazni

Manakala tenaga pengajar yang menyampaikan latihan Muaythai ialah bekas juara dunia Muaythai yang berpengalaman.

Menurutnya, walaupun hanya mereka berdua sahaja orang Melayu yang berani menjalani latihan Muaythai, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus belajar Muaythai secara lebih mendalam.

Awang Diddy yang baru saja menceburi bidang Muaythai dan menyertai latihan tersebut dalam Kategori ‘Beginner Fighters’ berharap akan mengikuti latihan kempen Muaythai pada tahun depan demi meningkatkan lagi tahap latihannya.

Sementara itu Feez yang sudahpun berpengalaman dalam bidang Muaythai sejak lima tahun lalu menyertai lagi latihan tersebut dalam Kategori ‘Intermediate Fighters’.

Sebagai seorang pelatih Muaythai negara nanti, mereka berharap akan dapat memberikan latihan Muaythai dengan betul kepada peminat-peminat Muaythai di Megara Brunei Darussalam.

Saranan mereka kepada belia-belia atau orang ramai yang ingin mempelajari Muaythai ialah menanamkan sikap tabah dan berani.

“Dengan mempelajari Muaythai, ia mengajar disiplin yang tinggi, dan menanamkan sikap merendah diri,” jelas Awang Diddy yang sudahpun meminati sukan Muaythai sejak tahun 2012, iaitu selepas beliau menyertai Program Kapal Belia.

ARTIKEL YANG SAMA