Tingkat inisiatif amal gaya hidup sihat

Tingkat inisiatif amal gaya hidup sihat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Gejala obesiti di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan dimana Laporan Global Nutrition Report 2016 menunjukkan bahawa Brunei berada di kedudukan teratas di antara negara-negara anggota ASEAN yang mempunyai golongan dewasa berat badan berlebihan dan obes.

Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin berkata, ini merupakan satu dapatan yang membimbangkan dan pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat supaya akan mengamalkan gaya hidup yang sihat, bergiat aktif serta memilih pemakanan yang sihat.

Menurutnya, dapatan laporan itu adalah serupa dengan hasil dapatan Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan yang memberikan keputusan amat membimbangkan di mana sejumlah 61 peratus penduduk dewasa di negara ini didapati mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Impak daripada masalah berat badan yang berlebihan itu adalah jelas, di mana lebih daripada 30 peratus penduduk dewasa mengalami tekanan darah tinggi, 70 peratus mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan 12.4 peratus pula menghidap diabetes.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kesihatan untuk semua dan usaha untuk menangani masalah berat badan berlebihan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Haji Zakaria (tengah), Dr. Hazri (kiri) dan Dr. Justin Wong menekankan komitmen Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah berat badan berlebihan menyeru masyarakat supaya sama-sama mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesihatan mereka.
Haji Zakaria (tengah), Dr. Hazri (kiri) dan Dr. Justin Wong menekankan komitmen Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah berat badan berlebihan menyeru masyarakat supaya sama-sama mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesihatan mereka.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifli dan Penguasa Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Justin Wong Yun Yaw.

Menurut Haji Zakaria, kesihatan adalah tanggungjawab semua dan oleh itu, semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta dan masyarakat harus bertanggungjawab untuk memastikan mereka mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan senaman dan memilih makanan yang sihat.

“Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa kita untuk makan sihat atau bersenam tetapi ia merupakan tanggungjawab semua termasuk diri sendiri untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.”

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan terus melaksanakan inisiatif bagi menekankan gaya hidup yang sihat bagi masyarakat namun begitu negara masih lagi berhadapan dengan jumlah individu yang menjadi obes yang meningkat.

Pihak kementerian telah melalui penstrukturan organisasi dan telah mengenal pasti tiga keutamaan strategik iaitu untuk menjadikan kesihatan tanggungjawab semua, untuk membasmi dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit dan untuk memberikan perkhidmatan cemerlang menerusi penyejajaran serta penyelarasan.

Sementara itu, Dr. Justin Wong menekankan bahawa sekarang tibanya bagi semua pihak iaitu bukan sahaja pihak Kementerian Kesihatan untuk tampil sama-sama bertanggungjawab terhadap kesihatan dan amalan gaya hidup yang sihat serta untuk mengurangkan masalah berat badan berlebihan dan obes di Brunei.

Beliau berkata usaha sedang diambil untuk mengambil pendekatan yang lebih agresif dan untuk meneroka serta menyokong pendekatan inovatif dalam menangani masalah obesiti negara.

Dr. Justin Wong berkata dalam masa yang terdekat, pihak kementerian akan bekerjasama dengan rakan-rakan di sektor swasta termasuk syarikat swasta untuk menumpukan kepada usaha pelaksanaan suasana kerja yang sihat dan juga untuk memberikan penekanan kepada kesihatan para pekerja.

Pada masa yang sama, usaha turut dilaksanakan bagi menangani masalah obesiti kanak-kanak dengan kerjasama pihak sekolah, rakan-rakan kongsi dan keluarga.

Beliau juga berharap pihak yang berkepentingan termasuk pihak pemasaran dapat memainkan peranan untuk memastikan atau menggalakkan kanak-kanak membuat pilihan makanan yang sihat serta mengamalkan gaya hidup yang aktif.

Di samping itu, pihak kementerian bersama-sama agensi-agensi kerajaan juga sedang meneroka mekanisme fiskal yang akan mengurangkan pemakanan makanan tidak sihat di negara ini.

Berikutan dengan dapatan yang diketengahkan dalam Laporan Global Nutrition 2016, pihak Kementerian Kesihatan menekankan lagi komitmennya untuk menangani penyakit tidak berjangkit termasuk obesiti di Brunei.

Oleh itu, pihak kementerian menyeru kepada semua orang dan masyarakat Brunei untuk bertindak dalam sama-sama menangani masalah itu di mana Kementerian Kesihatan akan terus menyokong usaha negara untuk membanteras dan mengurangkan berat badan berlebihan.

Namun begitu, misi itu tidak boleh dilaksanakan bersendirian, tiba masanya bagi semua orang atau individu melihat kepada diri mereka sendiri untuk melakukan perubahan itu, jika bukan untuk diri sendiri tetapi lakukannya untuk keluarga mereka.

Pendekatan usaha seluruh negara untuk menangani isu itu adalah amat mustahak di mana agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan harus memikirkan mengenai dengan dasar kesihatan mereka terutama agenda kesihatan dalam semua dasar.