Tingkat integriti cegah rasuah

Tingkat integriti cegah rasuah

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 27 Jan – Seramai 30 orang kakitangan dari Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei telah menghadiri ceramah anti-rasuah yang berlangsung di Ibu Pejabat JSKLL cawangan Belait di sini, hari ini.

Ceramah telah disampaikan oleh Penyiasat Kanan Khas dari Divisyen Perancangan dan Perkembangan Integriti, Biro Mencegah Rasuah (BMR), Haji Muhd Hisham bin Haji Sulaiman.

Beliau antara lain menerangkan mengenai kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1982, Bab 131 di samping kepentingan integriti dan bahaya rasuah serta implikasinya terhadap individu, keluarga, dan masyarakat sekeliling.

Di antara isi kandungan ceramah mengenai rasuah hari ini adalah pengenalan kepada rasuah dan jenis-jenis rasuah, meningkatkan kesedaran kakitangan mengenai jenis kesalahan-kesalahan yang mereka mungkin terdedah (kepada rasuah), bahaya rasuah dan penalti bagi si pemberi dan si penerima rasuah.

Antara anggota JSKLL yang menghadiri ceramah tersebut.
Antara anggota JSKLL yang menghadiri ceramah tersebut.

Haji Muhd Hisham berkata rasuah datang dalam apa jua bentuk dan pegawai-pegawai kerajaan mesti melaporkan rasuah jika dijanjikan atau ditawarkan sebarang jenis suapan.

Jika didapati bersalah, beliau berkata, kedua-dua pemberi dan penerima boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1982, dan sesiapa yang gagal melaporkan rasuah tanpa alasan yang munasabah boleh disabitkan kesalahan dan didenda $500 serta penjara sehingga enam bulan.

Sesi ceramah ini bertujuan untuk meningkatkan integriti anggota PDB dan menekankan mengenai kepentingan disiplin dalam mematuhi peraturan dan undang-undang Brunei, semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Selain itu, ia juga menjadi platform untuk kakitangan JSKLL bagi menyuarakan kebimbangan mereka mengenai apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan percubaan sogokan atau rasuah.

JSKLL berhasrat untuk mengadakan acara-acara seperti ini untuk kakitangannya yang sentiasa bertugas di barisan hadapan dan mudah terdedah kepada bahaya rasuah.