Tingkat interaksi pemain muda

Tingkat interaksi pemain muda

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Seramai lima orang individu daripada Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) telah dipilih bagi menyertai Program pertukaran Bola Sepak Wanita JENESYS 2015 JEPUN-ASEAN ‘14 Tahun Kebawah’ yang akan diadakan bermula pada 10 hingga 18 Mac nanti di Jepun.

Mereka ialah Jurulatih Pembangunan Bolasepak Wanita, Dayangku Nurizzati binti Pengiran Ariffin, jurulatih-jurulatih wanita, Pusat Kecemerlangan, Dayangku Norashikin binti Pengiran Haji Ismail, Dayang Nahdhatul Simaa binti Haji Sabtu, Dayang Adi Khairun Norinsan binti Haji Kassim dan jurulatih Pusat Kecemerlangan, Haji Rozaimienizam bin Haji Jainal.

Sehubungan itu, Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki hari ini telah mengadakan perhimpunan rasmi di kediaman beliau bagi meraikan para peserta yang akan menyertai program tersebut sebelum mereka berlepas ke Jepun.

Juga hadir pada perhimpunan yang juga ikut serta bagi program tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amir Rizal bin Pengiran Haji Mahmud, Pengarah Teknikal, Michael Wong Mun Heng, dan Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Brunei Bawah 15 Tahun, Takao Fujiwara, yang juga dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Jepun.

Gambar ramai PYT Noriko Iki bersama para jurulatih dan ahli Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang akan menyertai program tersebut.
Gambar ramai PYT Noriko Iki bersama para jurulatih dan ahli Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang akan menyertai program tersebut.

Program JENESYS 2015 yang disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Jepun bertujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan belia dari negara-negara yang mengambil bahagian dan untuk membina asas untuk persahabatan masa depan serta kerjasama dalam kalangan rantau Asia dan Oceania.

Program yang mengambil tempat di Prefecture Shizuoka itu juga diadakan bersempena memperingati persahabatan dan kerjasama ASEAN-Jepun bagi tahun ke-40 yang diraikan pada tahun 2013.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama rapat Persatuan Bola Sepak bagi ‘Pesta Bola Sepak Wanita di Bawah Umur 14 Tahun’ untuk menggalakkan interaksi bersama pemain muda dalam kalangan ASEAN.

Melalui pertukaran sukan ini juga, pihak kedutaan Jepun berharap ia dapat mengukuhkan lagi hubungan rapat dengan Brunei Darusalam, di mana Jepun telah mempromosikan program ‘Sport for Tomorrow’ yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Abe pada Mesyuarat IOC pada September 2013, di samping dapat memberi manfaat daripada perlawanan antarabangsa dalam kalangan semua negara yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA