Tingkat kadar penyusuan ibu

Tingkat kadar penyusuan ibu

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Negara Brunei Darussalam perlu meneruskan usaha-usaha dan pelbagai strategi demi mengukuhkan lagi kadar amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif di negara ini.

Pemangku Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata, kadar penyusuan susu ibu di peringkat global kekal terbantut sejak dua dekad yang lalu di mana kurang daripada 40 peratus anak damit di bawah umur enam bulan diberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Senario global itu juga berlaku di Negara Brunei Darussalam, di mana kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif hanyalah 12 peratus pada tahun 2000 dan pada tahun 2010 telah meningkat kepada 27 peratus. Kadar ini masih lagi di tahap yang rendah memandangkan sasaran global yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 50 peratus untuk dicapai menjelang 2025, ujar beliau.

Yang Berhormat Pehin berkata demikian dalam perutusan Sempena Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2016 yang dikeluarkan di sini hari ini. Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut setiap 1-7 Ogos untuk mengetengahkan kepentingan mempromosi nilai amalan penyusuan susu ibu sebagai suatu amalan yang normal daripada aspek pemakanan anak damit dan kanak-kanak kecil. Tema sambutan bagi tahun ini ialah Penyusuan Susu Ibu – Kunci Kepada Pembangunan Mapan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, penyusuan susu ibu adalah penting bagi mencapai pembangunan mapan (SDGs). Ini telah disahkan melalui bukti saintifik terkini bahawa amalan penyusuan susu ibu yang optimum (iaitu penyusuan susu ibu secara eksklusif sejak lahir hingga enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun) boleh menyelamatkan 823,000 nyawa kanak-kanak di seluruh dunia dan menyumbang sebanyak USD$300 bilion kepada ekonomi global setiap tahun.

Penyusuan susu ibu merupakan asas bagi kesihatan yang baik untuk semua kanak-kanak dalam jangka masa pendek dan panjang. Amalan penyusuan susu ibu juga memberi manfaat kepada ibu-ibu di mana 20,000 kematian akibat kanser payudara di peringkat global boleh dielakkan sekiranya ibu-ibu menyusukan anak damit mereka secara optima.

Yang Berhormat Pehin berkata, Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang membudayakan amalan penyusuan susu ibu sebagai satu amalan yang digalakkan, disokong, dilindungi dan dihargai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2016 ini, marilah kita meningkatkan kesepaduan, bergerak bersama dan membuktikan bahawa kita boleh mencapai pembangunan mampan (SDGs) dengan melindungi, mempromosi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu.

“Perkara ini adalah amat bertepatan dengan hala tuju negara kita, dan seterusnya ianya adalah selaras dengan dua daripada tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan bagi tempoh lima tahun akan datang, iaitu, untuk memupuk bahawa ‘kesihatan adalah tanggungjawab semua’ dan juga untuk mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs),” ujar Yang Berhormat Pehin lagi.

ARTIKEL YANG SAMA