Tingkat kaedah pembelajaran

Tingkat kaedah pembelajaran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Pelajar-pelajar Tahun 10 daripada Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) pagi tadi telah menyertai Program Belajar Bijak Cemerlang yang berlangsung di Bilik Mumtaz, sekolah berkenaan.

Antara pengisian program anjuran Teachmeguru itu ialah ceramah motivasi serta kemahiran akademik melalui bengkel yang telah dikendalikan.

Program yang unik ini dibina atas modul inovatif yang terdiri daripada permainan pembelajaran, latihan pembelajaran berstruktur dan pendekatan interaktif yang responsif. Metodologi program ini khusus menggabungkan elemen keseronokkan, interaksi dan refleksi ke dalam pengalaman pelajar agar mereka dapat mengenalpasti gaya pembelajaran mereka sendiri.

Sebanyak tiga sesi iaitu Sesi Ceramah, Bengkel Belajar Bijak Cemerlang dan Aktiviti Belajar Bijak Cemerlang yang dimudahcarakan oleh Pengasas Teachmeguru, Awangku Abdul Azim bin Pengiran Yusof dan juga Kaunselor Perniagaan Kanan LiveWIRE Brunei, Awang Mohd Fadhilulah Tudun bin Haji Hassan telah dikendalikan.

Terdahulu, program dimulakan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Awangku Abdul Azim yang bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada para pelajar agar mereka dapat menerapkan tabiat pembelajaran yang efektif.

Awangku Abdul Azim semasa memudahcarakan Program Belajar Bijak Cemerlang.
Awangku Abdul Azim semasa memudahcarakan Program Belajar Bijak Cemerlang.

Ceramah itu juga turut mendalami kepentingan bagi pelajar untuk menjadi proaktif dalam mengambil langkah-langkah tertentu untuk mencapai matlamat mereka.

Dalam sesi kedua pula, Bengkel Belajar Bijak Cemerlang, sesi ini berintipatikan pengongsian kisah-kisah kejayaan penceramah dan beliau juga turut mengajar teknik belajar cemerlang.

Manakala, dalam sesi terakhir iaitu Aktiviti Belajar Bijak Cemerlang, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan di mana mereka telah diberikan pelbagai aktiviti susulan.

Program seumpama ini bertujuan untuk memperolehi jenis kaedah pembelajaran dan pengurusan tekanan, di samping mengenalpasti tabiat belajar mereka.

Selain itu juga, para pelajar akan dibekalkan dengan kemahiran akademik untuk meningkatkan gaya pembelajaran dan ingatan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA