Tingkat keagamaan di awal Tahun Hijrah

Tingkat keagamaan di awal Tahun Hijrah

Oleh Normazlina M.D, Pg Fairol RMF & Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Umat Islam di seluruh dunia telah menyambut kedatangan Awal Tahun Baru Hijrah 1437, kelmarin, dan di Brunei Darussalam ia disambut dengan bacaan doa akhir dan awal tahun hijrah di masjid-masjid, balai ibadat dan surau seluruh negara serta pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan.

Antara yang mengadakan majlis seumpamanya, semalam, ialah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata Gadong di mana majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, kemudian doa akhir dan awal tahun baru Hijrah yang telah dibacakan oleh Bilal Awang Jamal bin Haji Munab.

Majlis turut diserikan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam sebagai tanda meraikan Tahun Baru Hijrah 1437H, dan diikuti dengan solat fardu Isyak berjemaah.

Seramai lapan orang murid dari Ma’ahad Tahfiz Ar-Rahmah, Keningau, Sabah yang sedang membuat lawatan ke negara ini, turut hadir pada majlis tersebut, yang turut menyerikan majlis dengan beberapa persembahan nyanyian qasidah.

Murid-murid dari Ma’ahad Tahfiz Ar-Rahmah, Keningau dan Ketua Kampung Mata-Mata Gadong membaca doa akhir dan awal tahun baru Hijrah.
Murid-murid dari Ma’ahad Tahfiz Ar-Rahmah, Keningau dan Ketua Kampung Mata-Mata Gadong membaca doa akhir dan awal tahun baru Hijrah.
Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata berkesempatan bergambar ramai bersama murid-murid dari Ma’ahad Tahfiz Ar-Rahmah.
Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata berkesempatan bergambar ramai bersama murid-murid dari Ma’ahad Tahfiz Ar-Rahmah.
Majlis keagamaan yang diadakan di Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong.
Majlis keagamaan yang diadakan di Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong.
Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam ketika mengadakan majlis yang sama di Balai Ibadah PPNBD, Jalan Gadong.
Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam ketika mengadakan majlis yang sama di Balai Ibadah PPNBD, Jalan Gadong.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Mata-Mata, Haji Metali bin Haji Khamis dan Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Haji Hepnie bin OKPSD Abang Haji Abu Hanifah bersama penduduk sekitarnya.

Sementara itu, majlis sambutan turut diadakan di Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong yang dihadiri oleh Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Batong, Dato Paduka Haji Ishak bin Abdullah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa MPK Batong, Jawatankuasa Takmir Masjid Jefri Bolkiah, penduduk kampung dan jemaah masjid yang lain.

Bacaan Doa Akhir Tahun 1436 Hijrah, sembahyang Maghrib berjemaah, sembahyang sunat Hajat diikuti dengan bacaan Doa Awal Tahun 1437 Hijrah telah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Rozaimi bin Haji Bunal.

Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), turut tidak ketinggalan menyambut hari penting dalam kalender Islam berkenaan dengan majlis sambutan yang diadakan di Balai Ibadah PPNBD, Jalan Gadong.

Seramai 40 orang ahli pengakap terdiri daripada pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pegawai eksekutif pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap, ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana telah menyertai majlis berkenaan.

Doa Akhir Tahun 1436 Hijrah telah dipimpin oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan, Haji Othman bin Durani, bagi memohon ke hadrat Allah S.W.T mengampuni segala dosa dan menerima taubat hamba-hambaNya, seterusnya sembahyang fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi, serta diselajurkan dengan bacaan Doa Awal Tahun 1437 Hijrah bagi memohon ke hadrat Allah S.W.T melindungi hamba-hambanya daripada segala kejahatan.

ARTIKEL YANG SAMA