Tingkat kecekapan, keberkesanan tangani kes penculikan

Tingkat kecekapan, keberkesanan tangani kes penculikan

TAWAU, 6 April – Pihak berkuasa digesa mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan menangani kes pencerobohan dan penculikan di kawasan perairan Sabah berikutan kejadian penculikan empat rakyat Malaysia dari Sarawak, baru-baru ini.

Ketika membuat gesaan itu, Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata kes penculikan itu secara tidak langsung menunjukkan kawasan perairan di Sabah belum berada di tahap selamat.

“Walaupun pelbagai langkah keselamatan diambil pihak berkuasa, kes-kes penculikan masih berlaku. Rakyat Sabah bimbang tentang perkara itu dan ia sudah tentu memberi impak negatif ke atas sektor pelancongan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Ghapur menyarankan agar kawasan perairan di Sabah dapat dikawal serta dipantau dengan menggunakan satelit bagi membolehkan pihak keselamatan segera bertindak apabila berlaku kes-kes pencerobohan perairan.

“Selain itu, saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pos-pos kawalan di setiap pulau dan perkampungan air agar kawasan berkenaan bebas daripada ancaman anasir luar.”

Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang, Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Lau Jung Hien, 21, diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, Semporna. – Bernama