Tingkat kecekapan pegawai perikanan

Tingkat kecekapan pegawai perikanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan berjaya menjalankan kursus ‘in-house’ mengenai ‘organoleptic tests of fish/shellfish’ bagi pegawai-pegawainya yang berlangsung selama empat hari yang berakhir hari ini.

Kursus tersebut yang dihadiri seramai 20 pegawai Jabatan Perikanan bertujuan meningkatkan kemahiran pegawai-pegawai di Jabatan Perikanan dalam melaksanakan program amalan kebersihan di atas kapal yang memfokuskan kepada pemeriksaan kualiti ikan yang ditangkap dengan berpandukan ‘organoleptic tests’ ke atas ikan.

Majlis penyampaian sijil berlangsung hari ini dan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Perikanan, Haji Abdul Halidi bin Mohd Salleh.

Menurut kenyataan jabatan berkenaan, industri penangkapan ikan laut dalam yang menjadi salah satu tumpuan Pelan Strategik Perikanan di negara ini dijangka menjana penghasilan berjumlah 480 tan metrik ikan tuna dengan nilai sebanyak $2.88 juta pada tahun 2020.

Ikan-ikan tuna itu berpotensi untuk dieksport, sama ada untuk pasaran Kesatuan Eropah (EU) atau eksport ke negara yang berhajat untuk dieksport semula ke EU.

Menurut kenyataan itu lagi, kursus tersebut yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Malaysia, Ketua Pusat Biosekuriti Perikanan, Sarawak, Nazri Ishak, merupakan satu langkah tepat selaras dengan peranan Jabatan Perikanan sebagai pihak berkuasa yang mempunyai kuasa dalam melaksanakan kualiti ke atas rantaian makanan secara keseluruhan daripada pengeluaran utama untuk pemprosesan dan pengedaran.

Selain pembelajaran amali, kursus berkenaan juga diisikan dengan latihan praktikal di mana peserta diberi tunjuk ajar tatacara mengambil contoh ikan yang betul dan ‘visual inspection’ untuk ‘histamine’ dan parasit serta logam berat untuk dianalisis dalam makmal, menilai tahap kerosakan dan kualiti ikan, tatacara memeriksa dan mencatat suhu ikan yang betul dan tepat, mengenal pasti ikan-ikan yang beracun dan prosedur pengendaliannya.

Oleh yang demikian, hasil-hasil pemeriksaan tersebut adalah salah satu keperluan yang dikehendaki oleh pihak EU bagi produk-produk khususnya produk perikanan dapat dipasarkan di negara-negara EU.

Menurut kenyataan itu lagi, dengan adanya latihan ‘in-house’ ini akan memantapkan lagi keupayaan pegawai-pegawai di jabatan tersebut untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kualiti ikan tangkapan agar pengusaha-pengusaha penangkapan ikan akan peka untuk memberigakan kebersihan sebelum, semasa dan selepas pengendalian ikan di atas kapal dan kepentingan keselamatan makanan untuk semua pengguna sama ada untuk pasaran eksport mahupun tempatan.

Keperluan kebersihan ini bertujuan untuk memastikan produk mencapai kualiti yang tinggi dan mencegah sebarang pencemaran produk semasa pemprosesan.

Dalam pada itu, Jabatan Perikanan telah menghasilkan Garis Pandu Amalan Baik Kebersihan di atas kapal yang mengandungi maklumat dan panduan untuk memenuhi keperluan kebersihan sepanjang rantaian bekalan produk perikanan yang telah diberigakan pada 2 Jun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA