Tingkat kecergasan melalui aktiviti sukan

Tingkat kecergasan melalui aktiviti sukan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Acara Penutup Perlawanan Kecekapan Fizikal Berhalangan (Obstacle Course Challenge) 2016 yang dikendalikan oleh Unit Gerakan Khas, Jabatan Penjara berakhir dengan Majlis Penutup Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Jabatan Penjara, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat.

Dalam perlawanan tersebut, Koperal 523 Nurrashid bin Mahari (HQ) telah menjuarai Bahagian Institusi-institusi Jabatan Penjara, sementara Wadar 562 Haji Shariful Bahrin bin Haji Zainal (HQ) dan Wadar 754 Muhamad Hafizi bin Hashim(PJ), masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Manakala dalam Bahagian Agensi-agensi Jabatan Kerajaan dan Agensi Swasta, tempat pertama dijuarai oleh Awang Abdul Hadi bin Zaitin dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Awang Hamadi bin Haji Jublee dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pula menduduki di tempat kedua dan berada di tempat ketiga ialah Awang Mohammad Zul Azri bin Ranee dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Para pemenang dalam Perlawanan Kecekapan Fizikal Berhalangan.
Para pemenang dalam Perlawanan Kecekapan Fizikal Berhalangan.
Johan keseluruhan Perlawanan Obstacle.
Johan keseluruhan Perlawanan Obstacle.

Sementara peserta johan keseluruhan dimenangi oleh Koperal 523 Nurrashid bin Mahari (HQ) dengan mencatat masa terpantas iaitu 7.0148 saat.

Perlawanan tersebut telah pun dijalankan bermula pada 23 dan 24 November 2016 lalu, di mana seramai 34 peserta yang terdiri daripada Institusi-institusi Jabatan Penjara iaitu Institusi Ibu Pejabat (HQ), Institusi Penjara Jerudong (PJ), Institusi Penjara Maraburong (PM) telah menyertainya.

Selain itu, perlawanan tersebut juga turut disertai oleh agensi-agensi jabatan kerajaan dan agensi swasta seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Unit Tahanan dan Pemulihan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri , Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Setia Protective Security Services (SPSS) Sdn Bhd.

Selain dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama, perlawanan tersebut juga diadakan bertujuan bagi menyuntik dan menjalinkan semangat perpaduan dalam kalangan para peserta dari pelbagai agensi mahu pun institusi di negara ini.

Ia juga merupakan salah satu usaha Unit Gerakan Khas untuk sentiasa bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sukan yang bukan sahaja semata-mata untuk kecemerlangan tetapi juga untuk kecergasan, kesihatan fizikal dan mental.

Unit Gerakan Khas, Jabatan Penjara dalam pada itu juga akan sentiasa berusaha bagi meningkatkan lagi prestasi perlawanan ini bagi mencapai kejayaan dan ‘Sport Excellence’ bagi setiap peserta yang ikut serta terutamanya dari Institusi-institusi Jabatan Penjara.

ARTIKEL YANG SAMA