Tingkat kedinamikan industri kewangan Islam

Tingkat kedinamikan industri kewangan Islam

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Para graduan Program Profesional Fiqh Muamalat (FMPP) disarankan untuk terus menambah pengetahuan mereka dalam bidang ekonomi dan kewangan di samping menimba pengalaman di industri kewangan supaya mereka mempunyai kemahiran yang menyeluruh.

Usaha mereka itu dapat membantu mempertingkatkan dan memartabatkan industri kewangan Islam domestik dan pada masa yang sama, mempercepatkan inovasi produk serta perkhidmatan kewangan Islam dan akan dapat menjadikan pasaran kewangan Islam negara lebih dinamik dan maju.

Saranan itu dibuat oleh Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah-pengarah CIBFM Berhad, ketika berucap pada Majlis Tamat Pengajian bagi Program Profesional Fiqh Muamalat yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Hotel Empire & Country Club, Jerudong, hari ini.

Turut hadir ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Awang Metussin bin Haji Baki, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para jemputan dan sembilan orang peserta program yang diraikan.

Untuk mencapai hasrat itu, Awang Yusof menyatakan bahawa Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) mempunyai peranan yang penting dan harus sentiasa peka terhadap keperluan latihan yang dikehendaki oleh industri kewangan.

Awang Yusof dan Yang Arif Dato Seri Setia Haji Awang Metussin ketika menghadiri majlis berkenaan.
Awang Yusof dan Yang Arif Dato Seri Setia Haji Awang Metussin ketika menghadiri majlis berkenaan.

Beliau percaya bahawa pendidikan kewangan Islam perlu dilihat secara keseluruhannya dan ia memerlukan usaha kerjasama antara CIBFM sebagai pusat kecemerlangan, industri kewangan, pakar-pakar industri, cendekiawan dan pakar syariah, ahli-ahli akademik serta penyelidik-penyelidik untuk mewujudkan platform yang kukuh bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam Kewangan Islam.

Beliau juga berkata bahawa strategi dalaman dalam kalangan institusi kewangan itu sendiri perlu memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sebagai keutamaan yang lebih tinggi.

“Institusi-institusi kewangan perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk membuat talent upscaling dan succession plan yang dinamik sebagai platform bagi memajukan dan mempertingkatkan profesionalisme dalam bidang kepakaran Kewangan Islam.”

Awang Yusof turut menekankan, pendedahan dan penglibatan individu yang mempunyai latar belakang akademik kewangan Islam dalam forum-forum dan persidangan kewangan Islam antarabangsa serta untuk mengadakan dialog berterusan di antara CIBFM, industri, institusi pendidikan dan pengajian tinggi untuk mempertingkatkan kurikulum program pembelajaran.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan dan peranan CIBFM, Awang Yusof berkata bahawa ia merupakan sebuah Pusat Kecemerlangan dalam bidang perbankan dan kewangan Islam di bawah AMBD, sebagai sebahagian daripada komitmen AMBD dalam menyediakan platform kukuh untuk meningkatkan keupayaan modal insan dan melahirkan pemimpin bertaraf dunia dan profesional yang versatil dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Antara graduan yang hadir pada majlis berkenaan.
Antara graduan yang hadir pada majlis berkenaan.

“CIBFM menawarkan program-program profesional dan pensijilan yang berkualiti tinggi yang menepati kehendak dan keperluan pasaran semasa bagi melahirkan pakar-pakar kewangan Islam muda yang berbakat melalui perancangan pembelajaran yang unik dan progresif mengikut peringkat kecekapan yang bersesuaian.”

Di majlis itu, Awang Yusof turut menyeru kepada para graduan program untuk memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang kursus itu bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi diharap dapat membantu mereka menyumbang bakti kepada pertumbuhan dan perkembangan kewangan Islam tempatan serta sekali gus membawa nama negara ke persada antarabangsa.

Majlis berkenaan juga menyaksikan penyampaian ceramah oleh dua orang penceramah undangan iaitu Dato Dr. Daud bin Bakar daripada Amanie Advisors dan Dr. Zulkifli bin Hassan dari Universiti Sains Malaysia, di mana kedua-dua pakar kewangan Islam itu membentangkan isu-isu semasa global berhubungan dengan kewangan Islam serta cabaran-cabaran produk inovasi dalam kewangan Islam.

Majlis turut menyaksikan Awang Yusof menyampaikan sijil tamat pengajian kepada sembilan orang graduan di mana mereka terdiri daripada pegawai-pegawai industri kewangan yang berjaya menjalani peperiksaan dan kegiatan FMPP.

Program FMPP merupakan sebuah program utama (signature) yang diperkenalkan oleh CIBFM pada 2012 di mana program separuh masa itu disokong oleh AMBD dan Lembaga Penasihat Kewangan Syariah Negara Brunei Darussalam yang dibahagikan kepada tiga fasa.

Fasa pertama ialah pembelajaran teori, fasa kedua ialah program mentor dan fasa ketiga ialah pendedahan antarabangsa, yang mana program itu sehingga kini telah berjaya melahirkan 26 orang graduan.

ARTIKEL YANG SAMA