Tingkat kefahaman dalam ilmu hadis

Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

Gambar oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1439 Hijrah/2017 Masihi, Fakulti Usuluddin Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengendalikan Nadwah Ulum al-Hadith yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir ialah Pemangku Penolong Ra’es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh dan Pemangku Pendaftar KUPU SB, Pengiran Anak Haji Damit Baharuddin bin Pengiran Anak Safiuddin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Nadwah, Haji Mohd Azmi bin Haji Omar.

Dalam ucapan alu-aluannya Haji Mohd Azmi berharap dengan adanya perkongsian ilmu melalui nadwah itu akan memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada semua khususnya para peserta dalam meningkatkan lagi kefahaman tentang akidah, Al-Hadis atau Al-Sunnah dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya agar semua lebih berhati-hati untuk tidak menyebarkan hadis-hadis palsu melalui media sosial dan mengambil hikmah serta pengajaran yang terdapat dalamnya sebagai usaha dalam sama-sama menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai qudwah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T

Nadwah yang dihadiri oleh seramai 300 orang peserta dari jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan warga KUPU SB itu bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan Al-Hadis/Al-Sunnah dan kandungannya dalam kalangan warga KUPU SB dan masyarakat luar di samping untuk mendidik para peserta agar sentiasa menghidupkan Al-Sunnah dan mengamalkannya.

Dr. Haji Adanan ketika hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Haji Mohd Azmi ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Prof. Dr. Ali Syed Abdyl Hamed Youseff al-Syimi (kiri), Dr. Ahmad Yunus dan Dr. Haji Matussien selaku pembentang kertas kerja bagi sesi pertama dan Awang Azman selaku moderator.

Selain itu, ia juga diharap dapat memantapkan lagi ukhuwah Islamiah di antara warga KUPU SB dengan masyarakat awam.

Pada nadwah kali ini, dua sesi pembentangan kertas kerja telah diadakan dengan sesi pertama mengetengahkan tajuk ‘Model Kualiti Murabbi Menurut Perspektif Al-Hadith’ yang dibentangkan oleh Dr. Ahmad Yunus Kasim dari Fakulti Pendidikan KUPU SB dan ‘Khususiyyah Rasulullah S.A.W Menurut Al-Hadis’ yang dibentangkan oleh Dr. Haji Matussein bin Haji Jumat.

Dr. Ahmad Yunus dalam pembentangannya memperjelaskan mengenai sorotan dan penerokaan hadis-hadis sahih berkaitan elemen-elemen kualiti murabbi berdasarkan perspektif Al-Quran dan Al-Sunah manakala itu kertas kerja Dr. Haji Matussein memperjelaskan mengenai khususiyyah yang secara khusus dianugerahkan berupa kurnia atau tanggungjawab kepada Baginda semasa hayat di dunia ini mahu pun yang bakal terjadi pada hari akhirat nanti.

Pada sesi kedua, Dr. Mikdar Rusdi dari Fakulti Usuluddin KUPU SB telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mempertahankan Ketulenan Al-Hadis daripada Anasir-anasir Penyelewengan’.

Beliau telah memperjelaskan tentang peranan hadis dalam Islam dan cabaran-cabaran yang sering dihujahkan kepadanya sama ada yang bersumber daripada golongan Islam sendiri seperti kaum Syiah, pendusta, wahabi mahupun yang bersumber daripada golongan yang benci dengan Islam seperti orientalis barat yang terang-terang memberikan kritikan kepada Al-Hadis dan Al-Quran.

Manakala itu, Dr. Lilly Suzana binti Shamsu dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pula telah membentangkan tajuk ‘Penyebaran Hadis Mawdu’ di Laman Sosial: Isu dan Cabaran’.

Dalam kertas kerja beliau, Dr. Lilly Suzana membincangkan mengenai beberapa periwayatan yang masyhur tersebar dalam laman-laman sosial dan menganalisis kedudukannya sesuai metode pengajian hadith.

Acara telah diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para pembentang kertas kerja dan bacaan Doa Selamat.