Tingkat kefahaman jenis kesalahan baru di pejabat awam

Tingkat kefahaman jenis kesalahan baru di pejabat awam

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Dalam usaha memberikan penerangan dan meningkatkan kefahaman mengenai jenis-jenis kesalahan baru berhubung salah laku di pejabat awam, Bahagian Keadilan Jenayah (Criminal Justice), Pejabat Peguam Negara telah mengadakan ceramah di Dewan Kuliah As-Sa’adah, Ibu Pejabat Biro Mencegah Rasuah, Jalan Lapangan Terbang Lama, baru-baru ini.

Ceramah mengenai peruntukan-peruntukan baru di Perintah Akta Mencegah Rasuah (Pindaan) 2015 itu disampaikan oleh Peguam dan Timbalan Pendakwa Raya di Unit Tugas-tugas Khas, Pejabat Peguam Negara, Christopher Ng Ming Yew.

Menurut Christopher Ng, pindaan yang berkuat kuasa 22 September lalu menekankan bahawa menggunakan dana awam bagi kegunaan peribadi, pemberian layanan istimewa yang tidak sewajar dan penyalahgunaan maklumat oleh pegawai awam menjadi satu jenayah di bawah Seksyen 12A.

Seksyen 12B pula diperuntukkan bagi menangani salah laku sengaja atau mengabaikan tugas sebagai seorang pegawai awam, membanteras penyalahgunaan kuasa atau jawatan rasmi, mencegah nepotisme dan kronisme, menggalakkan pegawai awam untuk mengisytiharkan konflik kepentingan bila melaksanakan tugas serta untuk menggalakkan komitmen kepada kedaulatan undang-undang, kejujuran, integriti, objektiviti, tidak berat sebelah dan profesionalisme di kalangan pegawai awam.

pg04_151116_c

Christopher Ng menyampaikan ceramah beliau kepada para pegawai kerajaan di majlis berkenaan.
Christopher Ng menyampaikan ceramah beliau kepada para pegawai kerajaan di majlis berkenaan.

Beliau turut menyentuh kajian kes kelakuan dan amalan yang boleh dianggap sebagai salah laku dalam pejabat awam serta berkongsi pengalaman dari bidang kuasa lain seperti Hong Kong dan United Kingdom dalam pelaksanaan kesalahan salah laku di pejabat awam.

Christopher Ng juga menekankan bahawa definisi pegawai awam di bawah pindaan baru itu bukan sahaja bagi para pegawai yang bertugas di sektor kerajaan tetapi juga merangkumi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam.

Ceramah itu turut menekankan perihal penting dan perlunya garis panduan etika yang lebih jelas ditubuhkan oleh jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan awam untuk mencapai kejayaan dalam pelaksanaan peruntukan baru itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ceramah itu berakhir dengan sesi soal jawab bersama para peserta yang terdiri daripada para pegawai kanan Biro Mencegah Rasuah dan Pejabat Peguam Negara.

Ceramah itu merupakan antara siri ceramah yang disampaikan bersama oleh Biro Mencegah Rasuah dan Pejabat Peguam Negara kepada jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan awam dalam tahun akan datang untuk meningkatkan kesedaran mengenai peruntukan-peruntukan baru itu bagi mempromosikan integriti dan kejujuran dalam kalangan pegawai-pegawai awam.

ARTIKEL YANG SAMA