Tingkat kefahaman masyarakat terhadap literasi kewangan

Tingkat kefahaman masyarakat terhadap literasi kewangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terutama golongan muda mengenai literasi kewangan, Junior Achievement (JA) Brunei melaksanakan pelbagai program bagi sekolah-sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam di seluruh negara.

Program-program yang dilaksanakan selepas pelancaran rasmi JA Brunei pada 20 Januari lalu sebagai sebuah persatuan bukan berasaskan keuntungan yang berdaftar, adalah selaras dengan misinya untuk memberikan inspirasi dan menyediakan golongan muda Brunei untuk meraih kejayaan dalam ekonomi global menerusi program JA yang memberikan mereka pembelajaran melalui pengalaman dalam bidang literasi kewangan dan keusahawanan.

Menurut Pengarah Urusan JA Brunei, Louis Tan, jumlah sekolah dan pelajar yang menyertai program-program JA terus meningkat selepas pelancaran projek rintisnya pada 2012 dan sejak itu, sebanyak 16 buah sekolah dan lebih 800 orang pelajar telah meraih manfaat daripada program-program JA itu.

“Pada tahun ini, sebanyak 16 buah sekolah lagi iaitu tujuh buah sekolah rendah, lima buah sekolah menengah dan empat pusat tingkatan enam”.

Beliau menjelaskan bahawa pada masa ini, terdapat tiga jenis program yang dikendalikan di sekolah-sekolah di Brunei iaitu JA More than money, JA Economics for Success dan JA Company Program.

Program JA more than Money merupakan program asas literasi kewangan sebanyak enam sesi ditaja oleh HSBC Brunei yang diperkenalkan untuk mengajar golongan muda mengenai konsep mencari pendapatan, berbelanja, berjimat dan mendermakan wang serta untuk memulakan perancangan kewangan pada usia yang muda lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Brunei, Todd Wilcox berkata bahawa pihaknya terus memberikan sokongan kepada JA Brunei dan visinya di mana dalam masa ekonomi yang mencabar, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa golongan muda dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan kewangan dan kemahiran keusahawanan bagi mencapai visi Brunei untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Sementara itu, Program JA Economics for Success pula diperkenalkan untuk mengajar para pelajar mengenai pentingnya bagi mereka menerokai pelbagai pilihan kerjaya berasaskan kepada kemahiran, minat dan nilai masing-masing.

Ia juga menyediakan maklumat yang diperlukan untuk membangunkan kewangan peribadi yang kukuh di mana para pelajar diajar mengenai cara untuk berbelanja dalam sesuatu bajet, menyimpan dan melabur secara bijak serta untuk menggunakan kad kredit secara berhati-hati.

Sebuah lagi program yang dikendalikan oleh JA Brunei ialah JA Company Program, ditaja oleh Bank Baiduri, yang memberikan tumpuan kepada bidang keusahawanan dan persediaan kerja dengan memberikan maklumat mengenai cara untuk memulakan perniagaan dan menguruskan perniagaan mereka di dalam ekonomi global yang kompetitif. Menurut Louis Tan lagi, elemen penting dalam program JA Brunei adalah khidmat bakti daripada kumpulan sukarelawan daripada HSBC, Bank Baiduri, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), YEAB, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Maybank, Bank Standard Chartered (SCB), BAG Networks dan juga pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD).

ARTIKEL YANG SAMA