Tingkat kefahaman pelajari Bahasa Isyarat

Tingkat kefahaman pelajari Bahasa Isyarat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Ke arah meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai Bahasa Isyarat dalam kalangan ahli-ahli pengakap, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Perempuan telah mengadakan Bengkel Bahasa Isyarat yang berlangsung di Bilik Persidangan, Tingkat 4, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, bermula hari ini.

Bengkel yang diadakan selama tiga hari itu disertai oleh lebih daripada 20 orang ahli pengakap termasuk Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap, Pesuruhjaya Pengakap Daerah, Pegawai Eksekutif Pengakap, Pemimpin-pemimpin Pengakap, ahli-ahli Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.

Bengkel tersebut dihasratkan dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran para sukarelawan termasuk ahli-ahli pengakap berkomunikasi dengan ahli-ahli pengakap yang berkeperluan khas, di samping meningkatkan kefahaman, kesedaran dan kemahiran mereka dalam berkomunikasi dengan masyarakat terutama dengan golongan kurang daya pendengaran dalam kerja-kerja sukarelawan.

Bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator bengkel daripada Pegawai Pelajaran dan Ketua Bahagian (Penyelaras) Perkhidmatan Bantuan Masalah Pendengaran, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Norbayah binti Haji Shahminan itu akan diteruskan lagi pada 10 dan 15 April ini.

Dr. Hajah Norbayah menunjukkan isyarat tangan.
Dr. Hajah Norbayah menunjukkan isyarat tangan.

ARTIKEL YANG SAMA