Tingkat kegiatan kokurikulum sekolah-sekolah

Tingkat kegiatan kokurikulum sekolah-sekolah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Ishan Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Jabatan Pendidikan Kokurikulum Kementerian Pendidikan hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Surat Lantikan Tuan Rumah dan Peralatan Sukan bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti kokurikulum sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab dan pra universiti tahun 2016.

Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis yang berlangsung di ruang legar Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

Tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan penyerahan surat lantikan dan pengagihan peralatan sukan dari Unit Jasmani bagi kejayaan aktiviti yang dianjurkan jabatan berkenaan dan pelaksanaan di sekolah-sekolah yang terlibat.

Bagi acara sukan futsal, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Sekolah Menengah (SM) Katok, Pusat Tingkat Enam Tutong dan SM Sayyidina Ali dilantik menjadi tuan rumah dan seterusnya menerima peralatan sukan futsal, takraw dan bola tampar.

Tetamu kehormat menyerahkan sijil kepada pengetua dan perwakilan sekolah-sekolah yang terlibat.
Tetamu kehormat menyerahkan sijil kepada pengetua dan perwakilan sekolah-sekolah yang terlibat.

Bagi acara bola sepak pula akan dihoskan oleh Sekolah Sukan, SM Pengiran Isteri Hajah Maryam Serasa, Ma’had Islam Brunei dan Maktab Anthony Abell yang juga turut menerima peralatan sukan futsal, takraw dan bola tampar.

Sementara itu, Sekolah St George, SM Lambak Kiri, SM Sayyidina Husain dan Sekolah St John Kuala Belait menjadi tuan rumah bagi sukan badminton yang juga menerima peralatan sukan badminton, takraw dan bola tampar.

Bola jaring pula akan dihoskan oleh SM Sayyidina Umar Al-Khattab, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, SM Sufri Bolkiah dan SM Perdana Wazir yang menerima peralatan bola jaring, takraw dan bola tampar.

Sepak takraw akan dihoskan oleh SM Menglait, SM Sultan Sharif Ali, SM Sayyidina Othman dan SM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah yang turut menerima peralatan sukan takraw dan bola tampar.

Bagi sukan Ping Pong pula, ia akan dihoskan oleh SM Sultan Muhammad Jamalul Alam, SM Berakas, SM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan SM Chung Hua Kuala Belait yang turut menerima peralatan sukan ping pong, takraw dan bola tampar.

Dalam acara hoki pula, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dilantik menjadi hos dan menerima peralatan sukan hoki dan takraw.

ARTIKEL YANG SAMA