Tingkat kemah...

Tingkat kemahiran bacaan Al-Quran

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Dalam usaha menggalakkan penguasaan bacaan surah-surah Al-Quran kepada belia di negara ini, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar dan Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Al-Huffaz Management, Candas Creative Company dan Syukri telah mengadakan Kem Hafazan Surah-surah Pilihan yang berakhir kelmarin di Masjid Kampung Sungai Besar.

Seramai 41 orang peserta terdiri daripada belia dan beliawanis berusia 13 hingga 20 tahun menyertai Kem Hafazan tersebut yang dimudahcarakan oleh dua guru Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Siti Nor Hamidah bin Pengiran Matassan, Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab dan Imam Masjid Kampung Bengkurong, Haji Hasrul Hazimin bin Haji Safar.

Peserta kem dikehendaki menghafaz dua surah pilihan iaitu Surah Yasin dan Surah Al-Mulk.

Majlis penutup telah pun diadakan semalam dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad yang turut berkesudian menyampaikan sijil kepada semua peserta.

Majlis penutup turut diserikan dengan persembahan bacaan surah-surah pilihan tersebut.