Tingkat kemahiran kakitangan TelBru

Tingkat kemahiran kakitangan TelBru

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Telekom Brunei Berhad (TelBru) terus melaksanakan pelbagai program pembangunan sumber manusia untuk memperkembangkan kemahiran kakitangannya dan salah satu yang baru sahaja diperkenalkan ialah Program Pembangunan Bakat Serantau (RTDP).

Menurut kenyataan TelBru di sini, hari ini, menerusi program ini kakitangan TelBru yang terpilih didedahkan kepada persekitaran kerja yang berlainan di luar negara, membangunkan dan berkongsi kemahiran profesional dengan kakitangan di institusi di mana mereka ditempatkan.

Program selama enam bulan ini telah bermula pada September lalu di mana empat kakitangan telah dipilih untuk menjalani program pendedahan dan pengalaman teknikal, profesional dan rentas budaya yang intensif sebagai sebahagian daripada perkembangan kerjaya mereka.

Kakitangan yang dipilih berkenaan ialah Awang Nazleny Azian bin Haji Johan dan Awang Muhammad Zakhran bin Ahmad yang ditempatkan di Telekom Malaysia (TM), Kuala Lumpur, dan Koh Chun Hua serta Awang Muhammad Ruzaini bin Adanan yang kini berada di Syarikat Philippine Long Distance Telephone (PLDT), Manila.

Salah seorang daripada mereka, Awang Nazleny yang ditempatkan di bahagian Media Baru TM, dipetik sebagai berkata, program ini sangat berguna dan membuka matanya.

Kakitangan TelBru yang terpilih untuk mengikuti program selama enam bulan itu.
Kakitangan TelBru yang terpilih untuk mengikuti program selama enam bulan itu.

“Walaupun saya boleh berbangga dengan 13 tahun pengalaman sebagai vendor bagi TelBru dan banyak projek, ia tidak akan dapat menandingi pengalaman yang saya perolehi di sini (Malaysia) dengan saiz pasaran pada kadar 2,000 pengguna baru setiap bulan, di seluruh negara.

“Saya didedahkan kepada perbincangan dan membuat keputusan yang sangat pantas. Acara-acara kekangan masa berjalan seperti sarapan pagi harian,” ujarnya, sambil menambah, dalam bulan pertama di sana, beliau telah terlibat dalam enam acara besar.

Sebagai penyedia telekomunikasi utama di Brunei Darussalam, TelBru dalam kenyataan berkata, mereka mengiktiraf kepentingan memupuk pemimpin perniagaan masa depan kerana kini dunia sedang dalam zaman pembaharuan teknologi di mana teknologi bergerak pantas.

Oleh itu, TelBru akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif dengan matlamat memupuk kakitangan berkenaan dan sebagai peluang untuk mengiktiraf keupayaan mereka.