Tingkat kemahiran ketenteraan

Tingkat kemahiran ketenteraan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Eksesais MALBRU SETIA Siri 12/2015 dan Mertak Bersatu Siri 10/2015 yang melibatkan anggota Kompeni \ʼA’ 1Bn Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan gabungan anggota Platun Meriam Katak 1Bn, 2Bn dan 3Bn TDDB bersama 3Bn Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah berakhir kelmarin dengan upacara penutup di Lapang Sasar Tentera Udara Malaysia (LASARUD) Kota Belud, Sabah, Malaysia.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi upacara tersebut ialah Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, dan Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, demonstrasi serangan akhir dengan bantuan tembakan Meriam Katak gabungan daripada TDDB dan TDM serta bantuan tembakan daripada pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dilaksanakan di LASARUD sebelum acara dimulakan.

Acara diteruskan dengan upacara perbarisan penutupan Eksesais MALBRU SETIA dan Mertak Bersatu bagi tahun 2015 yang diketuai Pegawai Pemerintah 3 RAMD.

Pemerintah TDDB dan Panglima TDM menandatangani ‘Terms of Reference’.
Pemerintah TDDB dan Panglima TDM menandatangani ‘Terms of Reference’.
Pemerintah TDDB menerima cenderahati daripada Panglima TDM.
Pemerintah TDDB menerima cenderahati daripada Panglima TDM.

Kemudian, upacara diteruskan dengan penandatanganan ‘Terms of Reference’ di antara Panglima TDM dan Pemerintah TDDB sebelum perlucutan \ʼToha’ yang disempurnakan oleh tetamu-tetamu kehormat dan disusuli dengan ucapan penutup Pemerintah TDDB yang sekali gus menutup rasmi kedua-dua eksesais tersebut.

Eksesais MALBRU SETIA merupakan acara tahunan di mana TDM dan TDDB secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah manakala Eksesais Mertak Bersatu merupakan eksesais yang dikendalikan oleh TDM setiap dua tahun sekali di Kota Belud, Sabah.

Eksesais ini membolehkan integrasi pergerakan anggota tentera darat kedua-dua tentera dan ia dapat dilaksanakan secara taktikal menerusi pengemaskinian latihan ketenteraan bersama khususnya dalam bantuan tembakan dan juga memberi peluang untuk melatih dan memahirkan anggota tentera kedua-dua negara dalam perancangan dan pelaksanaan bantuan tembakan bersama.

TDDB seterusnya dijadualkan akan menjadi tuan rumah bagi Eksesais BRUMAL SETIA pada tahun hadapan.