Tingkat kemahiran keusahawanan pelajar

Tingkat kemahiran keusahawanan pelajar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 10 Mac – Sebagai usaha meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (SVSB) telah menganjurkan Karnival Keusahawanan yang berlangsung di Big Top Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di sini, hari ini.

Perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman selaku tetamu kehormat.

Karnival kendalian Seksyen Perdagangan dan Kewangan IBTE Kampus SVSB yang diadakan setiap tahun itu juga bertujuan bagi memberikan kesedaran kepada mereka supaya bidang tersebut menjadi pilihan kerjaya yang dihasratkan dapat mengurangkan pengangguran, di samping mengetengahkan aplikasi pembelajaran keusahawanan secara pembelajaran autentik.

Pembelajaran ini merupakan pembelajaran wajib yang diterapkan ke atas program-program yang dikendalikan di kampus berkenaan dalam jurusan kejuruteraan, teknologi maklumat mahupun program perniagaan.

Pengetua IBTE Kampus SVSB, Awang Akandi bin Haji Razak, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, dengan adanya kemahiran keusahawanan, para pelajar akan dapat berdikari tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada pihak-pihak tertentu.

Pelancaran Karnival Keusahawanan IBTE Kampus Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah(SVSB) disempurnakan oleh Haji Haris.
Pelancaran Karnival Keusahawanan IBTE Kampus Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah(SVSB) disempurnakan oleh Haji Haris.
Pegawai Daerah Belait semasa melawat gerai-gerai di karnival tersebut.
Pegawai Daerah Belait semasa melawat gerai-gerai di karnival tersebut.
Antara pelajar yang menyertai Karnival Keusahawanan IBTE Kampus SVSB.
Antara pelajar yang menyertai Karnival Keusahawanan IBTE Kampus SVSB.

Beliau juga memberitahu, secara holistik karnival tersebut merupakan pengurusan acara yang mana perniagaan diintegrasikan dengan aktiviti-aktiviti sampingan sebagai salah satu tarikan perniagaan seperti pertunjukan dan pertandingan.

Sehubungan itu, tambahnya, banyak aktiviti yang dirancang untuk dikendalikan selama empat hari berlangsungnya karnival itu yang akan berakhir pada Ahad ini.

Seramai 64 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar di kampus tersebut mengetengahkan pelbagai produk jualan, dengan 24 peserta membuka gerai jualan makanan dan selebihnya gerai beraneka jualan.

Turut diadakan persembahan pentas, pertunjukan kereta retro, motosikal, pertunjukan binatang reptilia, kucing, helang dan sebagainya serta peraduan mewarna dan lainnya.

Acara tersebut yang dihasratkan untuk meningkatkan lagi semangat keusahawanan serta menggalakkan pelajar menubuhkan perniagaan berpandukan inisiatif dan idea sendiri, seperti juga pada tahun-tahun lalu yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutamanya penduduk di Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA