Tingkat kemahiran kuasai bacaan Al-Quran

Tingkat kemahiran kuasai bacaan Al-Quran

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 22 April – Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong, pagi tadi, telah mengadakan Pertandingan Membaca Al-Quran Secara Muratal bagi Kakitangan Bahagian V Masjid, Surau dan Balai Ibadat Senegara bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 tahun.

Tujuh orang peserta mengikuti pertandingan yang diadakan di Masjid Kampung Penanjong, yang mana mereka ini merupakan peserta-peserta yang pernah mengikuti Bengkel Membaca Al-Quran secara Muratal, baru-baru ini.

Muncul sebagai johan dalam pertandingan itu ialah Awang Mohd Shahrum bin Haji Sabtu, dengan diikuti oleh Awang Shareil Uzaini @ Mohd Khairil bin Haji Awang Sharbini di tempat kedua dan Awang Abu Bakar bin Haji Ahmad di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri majlis tersebut.
Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri majlis tersebut.

Pertandingan tersebut bertujuan menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya rakyat dan penduduk di negara ini celik Al-Quran, di samping dapat memberi tunjuk ajar dan mengasah bakat para kakitangan di Bahagian V dalam pembacaan Al-Quran secara muratal.

Selain itu, pertandingan yang diadakan buat kali kedua ini juga sebagai asas kepada kakitangan untuk mengembangkan bakat yang sedia ada bagi meningkatkannya lagi ke peringkat lebih tinggi, selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta dan pegawai-pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA