Tingkat kemahiran modal insan negara

Tingkat kemahiran modal insan negara

KUCHING, 27 Ogos (Bernama) – Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) akan menjadi cara paling berkesan untuk meningkatkan kekuatan asas kemahiran modal insan Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata, sejajar dengan itu, kerajaan akan memberi fokus terhadap usaha mentransformasikan TVET bagi memenuhi permintaan industri.

“Kerajaan akan menggiatkan lagi kerjasama dengan industri bagi menambah jumlah pengambilan pelajar dalam TVET, meningkatkan kualiti program dan institusi serta menambah baik keseluruhan penjenamaan dan profil sektor itu,” katanya ketika merasmikan Persidangan TVET Sedunia 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Menurut beliau, secara kolektif, usaha ini akan melahirkan lepasan sekolah yang berkemahiran dan menjadikan TVET pilihan ramai.

“Menurut jangkaan, pengambilan lepasan sekolah yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program TVET akan meningkat kepada 225,000 menjelang 2020 daripada 164,000 pada 2013.

“Malaysia bercita-cita menjadi negara maju dan inklusif menjelang 2020 dan untuk mencapainya, Malaysia memerlukan modal insan yang memiliki ilmu serta kemahiran, di samping etika dan akhlak yang baik untuk memacu ke arah pertumbuhan ekonomi inklusif dan lestari,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, inisiatif dalam tempoh rancangan Malaysia Ke-11 diunjurkan mewujudkan kira-kira 1.5 pekerjaan baharu menjelang 2020, 60 peratus daripadanya memerlukan kemahiran berkaitan TVET.

Riot berkata, untuk mempercepatkan peningkatan kadar kebolehgajian lepasan TVET, aspek keusahawanan perlu diteroka oleh penyedia latihan TVET dan pelajar bagi mewujudkan kelebihan daya saing bagi TVET.

Sementara itu, Hallman Sabri, pengarah eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, penganjur persidangan tiga hari itu, berkata persetujuan dicapai pada sidang pleno persidangan itu mengenai penubuhan Persatuan TVET Malaysia dengan kerjasama Persatuan Latihan Pendidikan Vokasional Antarabangsa (IVETA).