Tingkat kemahiran numerasi pelajar istimewa

Tingkat kemahiran numerasi pelajar istimewa

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Sebagai salah satu usaha dan komitmen Unit Pendidikan Khas (UPK) meningkatkan kemahiran numerasi pelajar istimewa, Bengkel Numerasi yang disertai 350 orang peserta telah diadakan di Tingkat Bawah, Unit Pendidikan Khas, Gadong.

Pada hari pertama, Pegawai Kanan Kurikulum, Perancangan Matematik dan Divisyen Pembangunan, Kementerian Pendidikan, Singapura, Dayang Suriani Othman mendedahkan kaedah bagi mengenal pasti dan menilai jurang pembelajaran pelajar, mengenali dan memahami corak kesilapan yang sama dan mengajar strategi untuk membangunkan pemahaman konseptual terhadap nombor dan pecahan.

Bengkel yang mengajar ‘multiplier effect’ kepada guru-guru yang terlibat melalui berkongsi pengetahuan, dapatan dan kemahiran serta amalan baik ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan terhadap pelajar yang mempunyai cabaran dalam penguasaan numerasi selain meningkatkan pengetahuan mengenai cara menangani masalah pembelajaran matematik pelajar istimewa.

Dayang Suriani Othman mendedahkan kaedah bagi mengenal pasti dan menilai jurang pembelajaran para pelajar istimewa.
Dayang Suriani Othman mendedahkan kaedah bagi mengenal pasti dan menilai jurang pembelajaran para pelajar istimewa.

Dalam bengkel itu, Dayang Suriani Othman mengajar bagaimana pengiraan matematik boleh difahami pelajar istimewa bagi membolehkan mereka membuat penyelesaian dengan lebih mudah dan senang.

Tatacara penggunaan manipulatif pula didedahkan bagi membina pengetahuan, membuat sambungan (connection), memberi contoh yang akan membina satu sama yang lain dan menyediakan bantuan tambahan kepada pelajar untuk bergerak ke hadapan.

Bengkel yang disertai oleh para guru besar dan beberapa pegawai dari jabatan di bawah Kementerian Pendidikan, guru-guru SENA, guru-guru LST dan Home Room Teachers ini juga turut disertai oleh 40 orang lagi pegawai dari Unit Pendidikan Khas dan ahli Jawatankuasa Numerasi.

ARTIKEL YANG SAMA