Tingkat kemahiran pemimpin pengakap

Tingkat kemahiran pemimpin pengakap

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Dalam memperkasakan sistem latihan kepimpinan, latihan secara berterusan sangat perlu bagi seseorang pemimpin untuk memahirkan dirinya dalam melatih ahli-ahlinya.

Oleh itu, bagi memastikan setiap pemimpin pengakap sentiasa peka dengan perkembangan latihan yang terkini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas dengan kerjasama Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, baru-baru ini, telah mengadakan Bengkel Ulang Kaji Istiadat Pengakap Tunas, Pakaian Seragam Pengakap Tunas dan Skim Lencana Kemahiran Pengakap Tunas bagi Pemimpin-Pemimpin dan Penolong-Penolong Pemimpin (Guru-Guru) Pasukan Pengakap Tunas di Sekolah Rendah Kerajaan dan Pendidikan Swasta Seluruh Negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, hari ini, bengkel yang berlangsung di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong, berkenaan disertai oleh seramai 20 pemimpin Pengakap Tunas dan Penolong Pemimpin Pasukan Tunas.

Menurut Pengarah Bengkel yang juga Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas serta Pemimpin Pengakap Tunas di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Hajah Noraini Haji Saidi, bengkel itu diadakan sebagai kesinambungan bengkel yang pernah dijalankan pada 2010.

Haji Awang Badar bergambar ramai dengan para peserta bengkel.
Haji Awang Badar bergambar ramai dengan para peserta bengkel.
Salah seorang peserta bengkel menerima sijil penyertaan.
Salah seorang peserta bengkel menerima sijil penyertaan.
Hajah Noraini menyampaikan taklimat pada bengkel berkenaan.
Hajah Noraini menyampaikan taklimat pada bengkel berkenaan.

Beliau menambah, sebagai seorang pemimpin Pengakap Tunas mestilah sentiasa berusaha untuk menambah ilmu berpengakap melalui kaedah belajar sambil membuat bagi memperkembangkan bakat kepimpinan mereka

Di samping itu, para peserta bengkel yang berjaya untuk menamatkan bengkel berkenaan telah diraikan dan menerima sijil mereka dalam majlis penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya, PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Semasa bengkel itu, para peserta telah mengikuti sesi kemahiran merancang perjumpaan Pengakap Tunas, istiadat-istiadat di dalam Pengakap Tunas melibatkan Istiadat Laung Agong, Istiadat Menaikkan Bendera, Istiadat Melantik Ahli Pengakap Tunas yang baru, Istiadat Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Tunas, Istiadat Penyampaian Lencana Kemahiran dan Lencana Kepandaian Pengakap Tunas, Istiadat Meningkat Naik Pengakap Tunas ke Bahagian Pengakap Muda, Pakaian Seragam Pengakap Tunas dan Skim Lencana Kemahiran dan Lencana kepandaian Pengakap Tunas.

Jurulatih-jurulatih pengakap yang memberi latihan semasa bengkel itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pengakap, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad, Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak, Pesuruhjaya Latihan, Awang Junaidi bin Haji Hussin, Pesuruhjaya Latihan, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Perempuan juga Pemimpin Pengakap Tunas di Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Hajah Nor Rahmat binti Sidin.

ARTIKEL YANG SAMA