Tingkat kemahiran penguasaan Bahasa Arab

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Kecenderungan untuk belajar Bahasa Arab dan ilmu pengajian Islam di Negara Brunei Darussalam dapat dilihat daripada peningkatan jumlah pelajar yang menduduki calon sekolah Arab yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) daripada 30.89 peratus kepada 34.54 peratus pada tahun 2014 dan 2015.

Perkara ini lebih ketara dengan meningkatnya purata kemasukan pelajar ke peringkat universiti berlatar belakangkan pengajian Islam seperti Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di mana statistik pelajar mengikuti Program Ijazah Pertama dan Diploma Tertinggi bagi tempoh tiga tahun terkini menunjukkan kenaikan sebanyak 5 hingga 7 peratus.

Manakala itu, bagi kemasukan di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), sekalipun berlaku peningkatan sebanyak 10 peratus pada tahun 2016 namun telah mengalami penurunan pada tahun ini sehingga 9 peratus.

Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat majlis di Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Arab dan Pengajian Islam dalam Dunia Islam (ICAIS 2017) di Auditorium UNISSA, di sini, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menekankan, walaupun pendidikan Bahasa Arab telah lama diperkenalkan di negara ini, namun pencapaian pelajar di peringkat sekolah mahupun di institut pengajian tinggi masih belum memuaskan.

Menteri Hal Ehwal Ugama bersama tetamu lainnya ketika hadir pada persidangan berkenaan.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan ucapan.
Ketika bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diperdengarkan.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Perihal ini disokong melalui kajian yang dijalankan terhadap pencapaian pelajar yang mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab untuk kemasukan ke UNISSA sebagai satu-satunya universiti tempatan yang menekankan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

“Statistik bagi pencapaian pelajar sepanjang tiga tahun kebelakangan menunjukkan penguasaan Bahasa Arab dan kemahiran berbahasa berada di tahap sederhana dengan purata lebih 60 peratus, sementara pencapaian di tahap tinggi adalah kurang daripada 30 peratus di samping terdapat peratus kecil pencapaian pelajar masih di tahap lemah dan perlu kepada pembaikan.

“Data ini sekali gus memberi isyarat kepada pihak berkenaan khususnya institusi tinggi agar melakukan penelitian semula terhadap beberapa aspek penting dalam strategi pengajaran Bahasa Arab yang ampuh dan dinamik, tawaran program dan kurikulum pendidikan yang bersistem dan menarik, serta persekitaran pembelajaran yang kondusif sebagai motivasi kepada minat pelajar,” tambahnya.

Perihal ini, tegas beliau, dilihat penting kerana kurangnya penguasaan di dalam Bahasa Arab akan memberi kesan terhadap kompetensi berkomunikasi pelajar yang secara tidak langsung menjadi hambatan kepada proses pembelajaran dan juga pengajaran ilmu pengajian Islam yang bersumberkan buku Turath dengan ketinggian Bahasa Arabnya.

Yang Berhormat Pehin menyarankan agar metodologi pengajaran yang terkini perlu dibangunkan dan diadaptasi seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat.

Dalam konteks pengajaran Bahasa Arab di institusi tinggi, penggunaan komputer, multimedia dan Internet yang meluas berpotensi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran yang dinamik dan lebih berkesan, tambah beliau lagi.

Persidangan dua hari anjuran UNISSA dan KUPU SB dengan kerjasama Liga Universiti-universiti Islam (IUL) itu membawa tema ‘Peranan Universiti dalam Memajukan Pengajaran Bahasa Arab dan Pengajian Islam’. Pada hari kedua esok, persidangan akan diadakan di KUPU SB. Persidangan berkenaan merupakan titik permulaan kerjasama bersama IUL sejak UNISSA menjadi ahli pada tahun 2016.

Memfokuskan kepada pengajaran Bahasa Arab dan pengajian Islam di dunia Islam, persidangan itu bertujuan untuk menjalin dan mengukuhkan kerjasama antara universiti-universiti Islam, menilai semula metodologi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dan pengajian Islam, membongkar cabaran dan masalah yang dihadapi dalam pengajaran Bahasa Arab dan pengajian Islam serta mencari cara penyelesaian untuk membangun kapasiti tenaga pengajar Bahasa Arab dan pengajian Islam.

Pada persidangan hari ini, kertas perdana bertajuk ‘Peranan Universiti dalam Memajukan Pengajaran Bahasa Arab dan Pengajian Islam’ telah disampaikan oleh Penasihat UNISSA, Profesor Emiritus Dato’ Dr Sayyed Muhammad Aqiel bin Ali Al-Mahdaly Al-Husainy.

Lebih 60 kertas kerja termasuk tiga kertas perdana akan dibentangkan sepanjang persidangan berkenaan yang dihasratkan akan menjadi medan perkongsian dan percambahan ilmu dalam kalangan ahli akademik dan siswazahnya. Persidangan tersebut diharap akan berjaya menonjolkan penyelidikan-penyelidikan yang berkualiti, sesuai dengan tema diketengahkan untuk persidangan kali ini.