Tingkat Kemahiran Renang

Tingkat Kemahiran Renang

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, pagi tadi, telah berkenan menyertai Gala Renang Terbuka OZSwim yang berlangsung di Kolam Renang, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), di sini.

Turut berkenan menyertai acara tersebut ialah cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb.

Perasmian acara tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir menyaksikan Gala Renang Terbuka OZSwim itu ialah Pemangku Suruhanjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Selina Cho.

Aksi Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim pada Gala Renang Terbuka OZSwim.
Aksi Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim pada Gala Renang Terbuka OZSwim.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb ketika berkenan menyertai acara tersebut.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb ketika berkenan menyertai acara tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika melancarkan acara tersebut sambil disaksikan oleh Selina Cho.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika melancarkan acara tersebut sambil disaksikan oleh Selina Cho.

Pengarah Sukan ISB, Mark Phipps dalam ucapannya menyatakan bahawa kerjasama bersama Suruhanjaya Tinggi Australia ini merupakan peluang yang terbaik bagi pelajar-pelajar ISB untuk bekerja dengan guru-guru dan pelajar di sekolah-sekolah lain.

Ia juga memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada para jurulatih renang di negara ini untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka serta memperbaiki teknik-teknik agar dapat disampaikan kepada bakal-bakal perenang di negara ini.

Gala Renang Terbuka OZSwim ini dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia dengan kerjasama ISB dan sokongan Kementerian Pendidikan.

Gala ini merupakan program terakhir aktiviti renang yang telah bermula sejak 25 April lalu di mana sesi-sesi latihan telah pun dikendalikan oleh dua orang jurulatih renang berpengalaman dari Australia, Joanne Love dan Haydn Belshaw.

Acara pagi tadi itu juga disertai oleh pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di seluruh Brunei termasuk Labuan.

ARTIKEL YANG SAMA