Tingkat kemahiran tangani institusi kekeluargaan

Tingkat kemahiran tangani institusi kekeluargaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Sebagai salah satu usaha meningkatkan kapasiti tenaga manusia dalam menangani isu berhubung kait dengan kemahiran keibubapaan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YAYASAN) telah mengadakan Bengkel ‘Training of Trainers-Parental Skills 2016’ di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan, hari ini.

Bengkel yang disertai seramai 75 orang, terdiri daripada para kaunselor sekolah rendah, menengah, pusat tingkatan enam dan para pegawai dari agensi kerajaan itu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menjelaskan, usaha ini adalah selaras dengan usaha kerajaan melalui Majlis Kebangsaan Isu sosial yang telah ditubuhkan sejak tahun 2008 dengan menggariskan tujuh pelan tindakan strategik bagi menangani institusi keluarga dan salah satu di antaranya ialah ‘Mengukuhkan Institusi Keluarga (termasuk meningkatkan kemahiran keibubapaan; meningkatkan sikap bertanggungjawab bagi setiap ahli keluarga).’

Inisiatif Yayasan dalam menyediakan program ini adalah bertepatan dengan objektif penubuhannya dan ia juga merupakan sumbangan kepada pelbagai agensi usaha kerajaan serta agensi-agensi bukan kerajaan dalam mewujudkan kestabilan sosial dan kesejahteraan melalui pengukuhan institusi keluarga di negara ini.

Menteri Pendidikan semasa menghadiri majlis tersebut.
Menteri Pendidikan semasa menghadiri majlis tersebut.
Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan ucapan dan merasmikan bengkel tersebut.
Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan ucapan dan merasmikan bengkel tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Bengkel ini juga diadakan untuk memperkayakan pengalaman para kaunselor dengan kemahiran kepimpinan generik yang diperlukan untuk mengendalikan program kemahiran keibubapaan secara berkesan.

Di samping itu, ia juga sangat bermanfaat bagi para pengamal dalam meningkatkan keupayaan mereka menangani isu keibubapaan dalam bidang tugas masing-masing. Program ini, jelas Yang Berhormat Pehin, dihasratkan untuk mempersiapkan para kaunselor bagi mengendalikan Program Bengkel Kemahiran Keibubapaan peringkat nasional kelolaan Yayasan dan dikendalikan oleh Unit Kaunseling dan Kerjaya, Kementerian Pendidikan sepanjang tahun ini dan mendatang.

Para peserta juga akan dibimbing untuk menyediakan pelan tindakan bagi pemberigaan kesedaran keibubapaan secara mapan dan berterusan.

Yang Berhormat Pehin turut melahirkan harapan agar para peserta dapat mengoptimumkan peluang dalam bengkel ini untuk meraih ilmu baru, mempertajamkan kemahiran serta berkongsi amalan terbaik agar dapat menjadi kaunselor yang berwibawa dan berkesan serta menyumbang kepada pengukuhan institusi keluarga.

Program yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini sehingga 28 Januari ini akan dimudah carakan oleh dua orang fasilitator dari Republik Singapura, Mohamed Khair bin Mohamed Noor dan dari SuChi Success Initiative Pte Ltd, Suriati Abdullah.

Bengkel ini diisikan dengan pelbagai topik keibubapaan seperti peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam zaman Internet, memahami ragam pelbagai peringkat usia anak-anak, menangani keperluan pembangunan anak-anak secara berkesan dan banyak lagi.

Turut hadir pada majlis pelancaran pagi tadi itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Mohd Shah Al-Islam.

ARTIKEL YANG SAMA