Tingkat kemahiran tatacara pertolongan cemas

Tingkat kemahiran tatacara pertolongan cemas

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai tatacara pertolongan cemas khususnya apabila berlaku kecemasan.

Sehubungan itu, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dengan kerjasama Markas Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), mengadakan Kursus Asas Pertolongan Cemas selama tiga hari bermula hari ini di Mes Pegawai, Dewan Serba guna, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kursus sehingga 21 Januari itu disertai oleh kira-kira 30 orang peserta dari agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk para sukarelawan yang berdaftar di bawah Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Persaudaraan Shorinji Kempo Brunei Darussalam (PERKEB) dan Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) serta individu perseorangan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan perasmian kursus tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap, di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Haji Idris bersama jemputan yang lain ketika menghadiri majlis tersebut.
Haji Idris bersama jemputan yang lain ketika menghadiri majlis tersebut.
Antara peserta yang menyertai kursus tersebut. - Gambar oleh Achong Tanjong
Antara peserta yang menyertai kursus tersebut. – Gambar oleh Achong Tanjong

Turut hadir ialah Pengarah NDMC, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu, Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat, Pegawai Gerakan & Latihan Perubatan, Markas Khidmat Perubatan & Kesihatan, Kapten Pengiran Hajah Saliza binti Pengiran Haji Ibrahim, tenaga pengajar kursus dan pegawai serta kakitangan NDMC.

Haji Idris dalam ucapan ringkasnya percaya bahawa melalui penyertaan dalam kursus itu, para peserta bukan sahaja mampu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka dalam aspek pemberian pertolongan cemas tetapi ia juga dapat digunakan dalam kehidupan harian mereka.

“Saya juga percaya penganjuran kursus sebegini secara tidak langsung membina kesiapsiagaan dan kapasiti kita sebagai seorang ahli sukarelawan dalam menghadapi cabaran-cabaran apabila terlibat dalam operasi bencana dan kerja-kerja bantuan kemanusiaan,” jelas Haji Idris lagi. Kursus bermatlamat untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai tatacara rawatan pertolongan cemas khususnya apabila berlakunya sebarang kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA