Tingkat kemahiran teknikal

Tingkat kemahiran teknikal

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Seramai 47 peserta Program Peningkatan Kemahiran Teknikal bagi Guru-guru Vokasional dan Teknikal di Asia Tenggara telah mengakhiri kursus mereka dan menerima sijil masing-masing di majlis penutup yang berlangsung di SEAMEO VOCTECH, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Jaya Ratnam.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Haji Mohd Sharifuddin binti Haji Mohd Salleh dan Pengurus ITE Education Services, Singapura, Lee Wee Heong.

Tuan Yang Terutama dalam ucapannya menyarankan guru-guru teknikal dan vokasional supaya meningkatkan kemahiran dalam bidang kemahiran teknikal dan pengajaran mereka.

Para peserta program bergambar ramai bersama Tuan Yang Terutama Jaya Ratnam.
Para peserta program bergambar ramai bersama Tuan Yang Terutama Jaya Ratnam.

Menurutnya, kursus yang dijalankan ini bukan sahaja menangani isu-isu penting dalam program pembangunan keupayaan teknikal dan pedagogi bagi guru-guru teknikal tetapi ia juga mewujudkan harmoni satu komuniti ASEAN dengan menyediakan latihan kepada sembilan buah negara anggota SEAMEO.

Program menerusi Bengkel Pasca-Latihan Perkongsian itu melibatkan pelatih atau guru-guru menjalankan latihan mereka di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura selama tiga minggu dan diikuti program latihan selama seminggu di negara mereka sendiri dengan mengongsikan pengetahuan dan kemahiran mereka yang akan memberi manfaat kepada seramai 391 orang guru teknikal / pengajar di negara ini.

Disamping itu, bengkel ini juga akan meningkatkan sistem dan program kemahiran teknikal bagi guru-guru vokasional dan teknikal, termasuk infrastruktur serta menaiktaraf kemahiran guru-guru teknikal dan vokasional.

Program ini telah pernah diadakan dan seramai 30 peserta berjaya mengikuti latihan tersebut di Electronic Industry, ITE College West, Singapura pada September 2013 yang lalu dan sehingga kini, seramai 162 guru teknikal dan vokasional tempatan telah berjaya menamatkan program tersebut.

Program Peningkatan Kemahiran Teknikal bagi Guru-guru Vokasional dan Teknikal di Asia Tenggara merupakan anjuran bersama SEAMEO VOCTECH, Temasek Foundation and ITE Singapore.

ARTIKEL YANG SAMA